Sumbangan berterusan diterima Najib bayar baki wang ikat jamin hari ini

Sumbangan berterusan diterima Najib bayar baki wang ikat jamin hari ini

Hari ini bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak akan membayar baki RM500,000 bagi wang ikat jamin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pergerakan Wanita Umno menyerahkan hasil kutipan sumbangan berjumlah RM261,286 beserta 2 utas gelang emas yang dikumpulkan oleh ahli-ahli Wanita Umno dari seluruh negara kepada bekas Presiden Umno  itu bagi membantu menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar oleh beliau.

Ketua Wanitanya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, bukan kali pertama Wanita Umno berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti. Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita Umno.

Termasuk dalam sumbangan ini merupakan RM3,000 yang diperolehi oleh Datuk Zaleha Bujang, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin yang rela hati melelong gelang emas miliknya dan telah dibeli oleh seorang individu.

Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita Umno untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini.

“Sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno, saya berasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ahli-ahli Wanita Umno di seluruh negara untuk membantu Dato’ Sri Najib. Teruskan menjadi Melayu yang tidak mudah lupa kepada jasa dan bakti pemimpin terdahulu. In shaa Allah, Wanita kekal kukuh membenteng Umno,” ujarnya.

Noraini bersama sekumpulan ahli Umno telah menyerahkan wang yang telah berjaya mereka kumpulkan  itu kepada  bekas perdana menteri itu dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor  di kediamannya di Langgak Duta, malam tadi.

Dalam perkembangan sama bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii, yang menyelaraskan Tabung Solidariti Najib, dipetik Malaysiakini pula berkata, sehingga semalam sejumlah RM310,245 telah berjaya dikumpulkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM88,111 diperoleh secara tunai manakala RM222,134 lagi disalur menerusi akaun bank.

Bagaimanapun, Razlan menambah jumlah keseluruhan hanya akan diketahui hari ini.

Najib pada Rabu didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah kira-kira RM42 juta.

Beliau dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Najib pada hari yang sama membayar wang tunai RM500,000 dan perlu membayar baki RM500,000 hari ini.

Najib dijangka hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini untuk melangsaikan baki wang ikat jaminnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0