Malaysia Dateline

Sumbangan kepada sekolah tahfiz, agama dan Cina berdasarkan bilangan murid

Khalid bergambar bersama penerima sumbangan dari Yayasan Wilayah Persekutuan iaitu RM1 juta untuk sekolah agama dan tahfiz, serta RM500,000 untuk sekolah persendirian Cina.

Sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada sekolah agama dan tahfiz serta sekolah persendirian Cina di Kuala Lumpur dibuat berdasarkan jumlah murid untuk sekolah berkenaan bukan jumlah sekolah.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam sidang media selepas penyampaian sumbangan tersebut baru-baru ini.

“Kita beri bantuan berdasarkan jumlah murid bagi sekolah bukan bilangan sekolah,” kata Khalid kepada media selepas majlis penyerahan itu.

Khalid menyumbangkan RM1 juta untuk sekolah tahfiz dan sekolah agama di Wilayah Persekutuan yang mempunyai 5,000 pelajar baru-baru ini.

Untuk sekolah persendirian Cina yang mempunyai 15,000 pelajar pula, Khalid menyumbangkan sebanyak RM500,000.

Sumbangan kepada sekolah tahfiz, agama dan sekolah persendirian Cina adalah buat pertama kali dibuat oleh YWP.

Sumbangan kepada sekolah tahfiz pula dibuat kepada sekolah tahfiz yang berdaftar sahaja.

“Kita hanya boleh bantu kalau sekolah itu berdaftar, kalau tidak kita hendak bantu macamana,” kata Khalid.

Tahun lepas, Khalid telah meminta semua sekolah tahfiz di Kuala Lumpur didaftarkan.

Ia bertujuan untuk membolehkan sekolah-sekolah ini dipantau dan diberikan bantuan.