Sumbangan peralatan bukan perubatan di Klinik Desa akan diteruskan, kata Adun Permatang Pasir

Sumbangan peralatan bukan perubatan di Klinik Desa akan diteruskan, kata Adun Permatang Pasir
Faiz menyampaikan sumbangan peralatan bukan perubatan bagi kemudahan masyarakat di Klinik Desa Permatang Rawa kelmarin.

Sumbangan peralatan bukan perubatan yang disumbangkan kepada Klinik Desa Permatang Rawa, adalah bagi keselesaan masyarakat desa yang mengunjungi klinik tersebut saban hari.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika menyerahkan sumbangan peralatan bukan perubatan kepada Klinik Desa Permatang Rawa, Permatang Pauh, kelmarin.

Menurut beliau lagi, agenda perubahan bukan hanya setakat peringkat pusat, tetapi juga perlu merangkumi peringkat bawahan.

“Agenda perubahan bukan sahaja perlu dilakukan diperingkat dasar, tetapi juga peringkat bawah secara langsung.

“Ia bermatlamat untuk memitigasikan kemiskinan, kejahilan dan juga kedukaan.

“Selain itu ia turut berperanan untuk memastikan masyarakat bawahan terus diberi pembelaan, ” jelasnya.

Malah kata Faiz lagi, bantuan kebajikan, pendidikan serta kualiti kehidupan menjadi agenda perubahan utama yang diperjuangkan.

Sehubungan itu ujarnya, sumbangan peralatan bukan perubatan yang disumbangkan kali ini adalah bagi memastikan keselesaan kepada semua golongan masyarakat.

Tambah beliau lagi, peralatan seperti kipas angin, kerusi dan seumpamanya merupakan antara keperluan yang harus diberi perhatian.

“Sumbangan dan dokongan ini mampu memberi kemudahan yang lebih baik khususnya kepada masyarakat desa.

“Dengan ini, ia bukan saja memberi keselesaan kepada mereka yang mendapatkan rawatan, tetapi juga kepada staf dan kakitangan Klinik Desa tersebut.

“Sejajar dengan itu, kepedulian ini akan diteruskan sehingga ke kawasan desa yang lain khususnya bagi Dun Permatang Pasir bagi memastikan semua pihak berada dalam suasana yang lebih selesa semasa mengunjungi klinik tersebut, ” tegas beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH.

Faiz bersama staf dan kakitangan Klinik Desa Permatang Rawa, Permatang Pauh semasa lawatan kerja kelmarin.