Malaysia Dateline

Sumbangan RM1 Juta: Pertemuan Zuraida dengan Syarikat ECK Development berlaku lebih dari sekali?

Isu penerimaan sumbangan RM1 juta daripada Syarikat ECK Development Sdn Bhd (ECKDSB) kepada NGO Penggerak Komuniti Nasional (PKN) yang mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin menimbulkan lebih banyak persoalan.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Akmal Nasir, antara persoalan yang dibangkitkan iaitu Syarikat ECKDSB telah disenarai hitam kerana gagal membayar kompaun setakat 8 Mei.

Namun, katanya, daripada semakan semalam (tarikh 14 Mei 2020) di laman KPKT menunjukkan bahawa dokumen berkenaan telah dikemaskini “pada 15 Mei”, di mana syarikat itu tidak lagi berada dalam senarai hitam.

“Bagaimana nama Syarikat ECKDSB boleh dikeluarkan daripada senarai tersebut dan dokumen baru yang dimuatnaik semalam (14 Mei) tetapi bertarikh 15 Mei iaitu melangkaui sehari lebih awal?

“Apa yang lebih mengejutkan lagi, berdasarkan maklumat daripada laman sosial KPKT sendiri, YB Zuraida dikatakan telah bertemu dengan Syarikat ECKDSB sejak tahun lepas lagi,” soalnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, berdasarkan status yang dikongsikan, pertemuan tersebut merupakan sesi taklimat yang diberikan oleh Syarikat ECKDSB kepada Menteri dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kerangka lawatan rasmi Menteri tersebut pada 14 Julai 2019.

“Berdasarkan kelibat YB Azman Nasrudin di dalam muatan gambar tersebut iaitu ADUN Lunas yang baru-baru umum khianati KEADILAN, pertemuan tersebut disyaki berlaku di Kedah.

“Malah individu-individu dari Syarikat ECKDSB yang sama iaitu terlibat dalam majlis penyerahan cek RM 1 juta turut berada bersama dalam lawatan kerja Menteri,” soalnya lagi.

Jelasnya, ini menimbulkan persoalan sama ada Zuraida sebenarnya telah mengenali Syarikat ECKDSB lebih awal dan mungkin menjelaskan kehadiran beliau menerima replika cek RM1 juta bagi NGO mesra beliau bukan sekadar simbolik sahaja.

Soalnya lagi, bukankah dengan menerima sumbangan bagi pihak NGO naungan beliau dari sebuah syarikat yang berkepentingan dan pernah berurusan dengan beliau selaku menteri menimbulkan persoalan kepentingan peribadi (conflict of interest)?

“Saya pada mulanya berhasrat menanyakan soalan-soalan ini di Parlimen minggu depan tetapi tidak berpeluang kerana tiada sesi soal jawab Menteri.

“Saya juga menyeru sekali lagi agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengambil serius perkara ini dan memulakan siasatan awal,” katanya.

Zuraida memuat naik hantaran mengenai sumbangan daripada pemaju berkenaan kepada NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) di akaun Instagram beliau pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, hantaran yang menunjukkan Zuraida menerima replika cek berkenaan telah pun dipadam.

Dalam hantaran Instagram yang telah dipadam, Zuraida berkata sumbangan itu dibuat pada 9 Mei kepada PKN untuk tujuan kebajikan, dan bantuan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Persoalnya, kenapa status tersebut dipadamkan? Adakah sesuatu perkara cuba disembunyikan?” soal Akmal dalam satu kenyataan hari ini.