Seorang pelajar Malaysia dihukum penjara seumur hidup di United Kingdom selepas didapati bersalah membunuh anaknya dengan meletakkan bayi terbabit ke dalam kotak bijirin sejurus melahirkannya pada Mac lalu.
Pelajar yang dikenali sebagai Jia Xin Teo itu tiba di United Kingdom pada awal tahun ini bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry dan dipercayai menyembunyikan kehamilannya sebelum melahirkan bayi.
Teo didakwa meletakkan bayi yang baru dilahirkannya 4 Mac lalu itu dalam kotak bijirin sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik kedap udara (ziplock) dan disimpankan dalam sebuah beg pakaian.
Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan meninggal dunia oleh pihak polis dua hari selepas kejadian selepas pihak hospital membuat laporan susulan menjalankan ujian ke atas pelajar berkenaan.
Pelajar yang berusia 22 tahun itu menafikan bahawa bayi tersebut dibunuh dengan sengaja sebaliknya mendakwa mendengar ‘suara’ mengarahkannya untuk membunuh anak malang terbabit.
Juri bagaimanapun menolak pembelaan tersebut dan mendapati Teo bersalah atas pertuduhan membunuh sebelum dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.
Mahkamah Mahkota Warwick menjatuhkan hukuman itu pada Jumaat lalu selepas Teo disabitkan atas kesalahan membunuh, menurut kemas kini terbaru dalam laman sesawang Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS).
Pelajar berkenaan juga layak mendapat pelepasan secara parol tetapi harus menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun dan perkara itu akan diputuskan oleh Lembaga Parol selepas tempoh tersebut, lapor New Straits Times.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu bahawa bayi itu masih hidup selepas dilahirkan pada awal Mac lalu dan Teo sedar anaknya akan mati apabila dimasukkan ke dalam kotak bijirin.
Difahamkan, Teo memutuskan untuk menyembunyikan kehamilannya kerana takut keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia mengetahuinya yang dipercayai boleh menjejaskan pelajarannya.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Tipples selaku Hakim Mahkamah Mahkota Warwick memaklumkan bahawa Teo yang dihamilkan oleh teman lelakinya selama tiga tahun itu pasti tahu bahawa dirinya hamil selepas beberapa bulan berlalu.
“Anda langsung tidak mengambil kira pilihan lain seperti menggugurkan kandungan di awal kehamilan ataupun menawarkan bayi itu untuk diambil sebagai anak angkat.
“Anda tidak cuba untuk mendapatkan sebarang bantuan sebelum bersalin berhubung kehamilan tersebut malah tidak mendapatkan sebarang nasihat perubatan. Anda tidak membuat sebarang persiapan sama sekali untuk menyambut kedatangan bayi ke dalam hidup anda.
“Hanya ada satu hukuman yang boleh saya jatuhkan dan ia adalah penjara seumur hidup.” Tegas Tipples yang turut menyifatkan bahawa pembunuhan tersebut adalah satu ‘kesalahan jenayah paling serius’.
Baca juga: Kenderaan Singapura kini tak boleh keluar dari Malaysia selagi tak bayar saman trafik?