Malaysia Dateline

Sumber air perlu dikaji lebih teliti untuk kesan punca kematian Orang Asli

Pihak yang berkenaan khususnya Jabatan Alam Sekitar perlu menjalankan kajian lebih teliti terhadap punca air dan air sungai di kawasan penempatan penduduk Orang Asli di Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang untuk mencari punca sebenar kematian sebilangan Orang Asli daripada suku kaum Batek itu.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Dr Zaki Zainuddin berkata walaupun JAS Kelantan sebelum ini telah mengesahkan bahawa sumber air Orang Asli di kawasan itu bebas daripada pencemaran, namun ujian perlu dilakukan secara berkala untuk mendapatkan keputusan lebih tepat.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu buat persampelan air secara berkala untuk melihat kualiti air yang digunakan oleh Orang Asli. Sampel selepas hujan dan sebelum hujan berbeza kerana selepas hujan ia akan melibatkan air larian dan kita tidak boleh memutuskannya (tercemar atau tidak) hanya dengan melakukan satu ujian sahaja.

“Analisis secara teliti perlu dilakukan seperti ujian mikrobiologi untuk mengesan kandungan bakteria, namun ia tidak menjadi masalah jika Orang Asli memasak air itu sebelum meminumnya.

“Bagaimanapun, ia akan menjadi masalah jika air sungai itu mengandungi bahan kimia serta logam berat seperti arsenik, aluminium, merkuri, nikel, kadmium, plumbum dan besi kerana ia tidak boleh hilang walaupun air itu dimasak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kandungan logam berat itu hanya dapat dikesan dengan melakukan ujian kimia terhadap sampel air yang digunakan oleh suku berkenaan dan ia perlu dilakukan berikutan terdapat kawasan perlombongan serta perladangan sawit berhampiran kawasan itu.

Sebelum kes itu mendapat liputan meluas media masa, ada laporan mengatakan penduduk di kawasan itu terkena penyakit kulit dan beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pencemaran air.

“Masalah kulit biasanya disebabkan sama ada oleh bakteria di dalam air yang digunakan atau air minum dan ia juga boleh berpunca daripada logam berat. Kita perlu ingat bahawa Orang Asli mempunyai daya ketahanan badan yang lebih rendah menyebabkan mereka terdedah dengan sebarang penyakit.

“Bagaimanapun, susah untuk mengatakan kematian itu berpunca daripada pencemaran logam kerana jika disebabkan oleh faktor itu (keracunan logam berat), amat jarang ia menyebabkan kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera memindahkan kesemua penduduk suku kaum berkenaan ke tempat yang selamat untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Menurutnya, tempat baharu itu perlulah dilengkapi dengan kemudahan air bersih untuk mengelakkan mereka menggunakan sumber air sungai yang tidak dapat dipastikan kebersihannya akibat persekitaran yang tercemar.

“Saya sendiri telah melawat ke kawasan kejadian semalam dan saya dapati mereka dalam keadaan lemah dan yang amat menyedihkan. Kerajaan perlu memberi perhatian serius tentang perkara ini terutama kawasan lombong yang masih beroperasi walaupun telah tamat kontrak.

“Saya berharap pemeriksaan akan dilakukan pada setiap anggota suku kaum berkenaan terutama golongan kanak-kanak dan warga emas untuk mengesan apa sebenarnya ‘penyakit’ yang berlaku di kalangan mereka,” katanya.