Malaysia Dateline

Sifat sebenar seseorang akan terserlah apabila punyai jawatan dan kuasa – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyentuh tentang amalan rasuah yang memusnahkan negara dan bertitah agar semua kembali sedar bahawa sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin akan datang dengan kesetiaan.

Titah baginda, sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata-kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,” titah baginda.

Baginda juga bertitah bahawa amalan rasuah dalam negara berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran berulang kali yang dibuat dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).

Baginda bertitah, disebabkan perbuatan itulah ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, dan ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Titah baginda lagi, apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Atas dasar itu baginda bertitah, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

“Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, yang mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua per tiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Di samping itu, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Pada masa sama baginda bertitah, sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Baca juga: ‘Geng hobi mahal’ konvoi dekat jalan sempit, menyusahkan kenderaan lain nak potong

Baca juga: Berlambak bahan lucah budak dalam telefon bimbit, penuntut IPT warga asing ditahan