Malaysia Dateline

‘Sumber rezeki hilang sekelip mata’

Mek Zainab Man

“Sumber rezeki saya hilang sekelip mata apabila dimaklumkan gerai terbakar. Raya dah nak dekat.. perniagaan saya pula lenyap sekelip mata.. macam mana saya nak tampung keluarga,”  rintih Meh Zainab Man peniaga Jalan Masjid India

Mek Zainab, 53, berkata sebelum ini dia sememangnya risau mengenai keadaan bumbung di tapak bazar Jalan Masjid India yang sudah berlubang kira-kira 5 tahun lalu.

“Saya lihat bumbung berlubang itu boleh menyebabkan litar pintas terutamanya bila air hujan menitis ke bawah. Perkara itu (lintas pintas) memang paling saya risau.

“Sekarang ini benda paling saya takut (terbakar) dah pun berlaku kepada gerai saya dan juga rakan-rakan yang lain.
“Saya balik rumah dalam 12.20 malam tadi, kejadian berlaku kira-kira 1.35 pagi.. sebelum terbakar, memang tak ada apa-apa tanda, tahu-tahu gerai saya sudah terbakar.

“Jadi saya harap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera membersihkan tempat ini supaya kami boleh berniaga semula, katanya yang sudah berniaga sejak 1998.

Sah Marzuki

Sementara itu, peniaga baju melayu di Wisma Yakin iaitu lokasi paling dekat dengan tempat kejadian, Sah Marzuki, 62, pula menyarankan agar pihak berkaitan sentiasa memantau keadaan semasa di kawasan itu.

“Mereka mungkin boleh melakukan pemeriksaan berkala seperti memeriksa keadaan bumbung yang bocor dan wayar yang sudah lama.

“Dengan cara ini, saya berpendapat kejadian kebakaran ini akan dapat dielakkan,” katanya yang sudah berniaga sejak 1981.

“Sanggup jual emas untuk modal perniagaan, namun lenyap sekelip mata,” rintih peniaga tudung
Pengorbanan seorang peniaga tudung di bazar Jalan Masjid India, yang sanggup menjual barang kemas miliknya untuk menampung kos perniagaan, berakhir dengan kekecewaan.
.
Wani Agus Salim, 34, berkata dia mengalami kerugian kira-kira RM25,000 akibat kebakaran itu, dan berhasrat berniaga berhabis-habisan bulan ini untuk mendapatkan bekalan kewangan menjelang Aidilfitri nanti.

Katanya, dia sanggup mencari jalan menjual barang kemas, demi mengharapkan pulangan yang setimpal untuk menampung keluarga lebih-lebih lagi Syawal menjelang tidak lama lagi namun semua itu tidak kesampaian.

Wani Agus Salim

“Terlalu banyak modal saya keluarkan sampai tak terkira dik.. kalau tak, tak ada lah saya meroyan macam ini sampai bengkak-bengkak mata.

“Hari biasa dekat sini tak ada pelanggan dik.. harapkan bulan puasa ni lah saya nak untung.. bila dah ada barang berniaga, gerai pula terbakar.. redha saja lah dugaan bulan puasa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran, hari ini.

Wani yang sudah 7 tahun berniaga di situ memberitahu, ketika kebakaran dia baru sahaja tiba di rumah di Kampung Baru kira kira jam 12.30 malam.

“Saya duduk di Kampung Baru. Bila dapat khabar mengenai kebakaran ini, rasa nak terbang supaya cepat sampai ke gerai. Memang saya sayang sangat perniagaan.

“Bayangkan kunci motor saya ada dalam beg, tapi cari tak jumpa. Tak terkata punya lah remuk hati masa dapat khabar mengejutkan itu.
“Saya minta supaya dibersihkan segera tempat ini.. sebab kita nak kumpul duit untuk raya, kalau tak raya tak apa.. anak-anak lagi ada di rumah,” luahnya dengan nada sebak.

Awal pagi tadi, lebih 30 gerai di hadapan kompleks Wisma Yakin di Jalan Masjid India di terbakar.

Awal pagi tadi, lebih 30 gerai di hadapan kompleks Wisma Yakin di Jalan Masjid India di terbakar.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi tadi.

Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.04 pagi.

Difahamkan, kebakaran membabitkan kawasan perniagaan berkeluasan kira-kira 2,000 kaki persegi (185.5 meter persegi) yang menempatkan 134 penjaja.

Baca: Penjaja dicadang pindah tapak baru