Malaysia Dateline

Sungai Batu Pahat sesuai sebagai habitat buaya

Sungai Batu Pahat dekat Batu Pahat sememangnya antara sungai di negeri ini yang sesuai menjadi habitat buaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata hasil pemantauan yang dilakukan tahun lepas mendapati terdapat sekurang-kurangnya 60 ekor reptilia itu yang menjadikan sungai terbabit sebagai habitat.

“Kewujudan buaya di Sungai Batu Pahat menunjukkan ekosistem sungai tersebut dalam keadaan sihat,” katanya yang dihubungi di sini.

Beliau mengulas mengenai rakaman video berdurasi 35 saat menunjukkan seekor buaya timbul di Sungai Batu Pahat, yang tular di laman sosial, semalam.

Dr Sahruddin berkata mengikut rekod Jabatan Perhilitan Negeri Johor, sehingga hari ini, pihak berkenaan tidak menerima sebarang aduan mengenai serangan atau konflik buaya dengan manusia.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak terlibat akan sentiasa melakukan pemantauan mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Daerah Batu Pahat menyifatkan kewujudan buaya di Sungai Batu Pahat bukan perkara asing buat mereka kerana terdapat anggota persatuan itu yang kerap terserempak haiwan itu.

Anggota Lembaga Pengarahnya, Shukor Jaffar berkata beberapa spesies buaya termasuk buaya yang tular sejak semalam sememangnya menjadikan Sungai Batu Pahat dan sungai sekitarnya seperti Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong serta Sungai Simpang Kanan di Bindu sebagai habitat.

Katanya, sehingga kini tiada kemalangan jiwa membabitkan para nelayan yang terserempak dengan ‘sang bedal’ itu.

“Namun, buaya yang tular semalam itu dikatakan agak besar berbanding yang dilihat para nelayan sebelum ini, yang dianggar panjangnya mencecah lima meter,” katanya sekali gus menasihati para nelayan supaya berhati-hati.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Razali Mohd Tahir yang dihubungi pula mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kemunculan buaya itu.

Razali turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini.

–BERNAMA