Malaysia Dateline

Sungai Belat ‘kolam renang’ pertama Muhammad Adam Zikry

Sungai Belat yang terletak berhampiran Kampung Belukar di sini, merupakan ‘kolam renang’ pertama buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Khas Abu Dhabi 2019, Muhammad Adam Zikry Syamsul Bahri.

Muhammad Adam Zikry, 16, yang merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini, merangkul pingat gangsa acara 100 meter renang bebas pada pertandingan yang berlangsung 19 Mac lepas.

Beliau yang menghadapi masalah pembelajaran (lembam) berkata kejayaan di Abu Dhabi menjadi pembakar semangat kepadanya untuk lebih berusaha dalam sukan renang, yang merupakan aktiviti riadah beliau sejak kecil bersama rakan sekampung.

“Saya seronok dengan kejayaan ini kerana ini pertandingan antarabangsa pertama saya…ini rezeki yang Allah berikan. Saya akan berlatih lebih kuat lagi untuk mendapatkan pingat emas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Muhammad Adam Zikry ditemui pemberita pada sambutan meraikan kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini semalam, anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Belukar.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu menambah beliau mula belajar berenang secara formal sejak dua tahun lalu di Kompleks Renang Wisma Belia di Indera Mahkota di sini.

“Latihan diadakan selama empat jam, dua kali seminggu dan jika ada pertandingan, saya akan berlatih setiap hari sebagai persediaan,” katanya yang pernah mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Sementara itu, ibu beliau Siti Rohaida Melan, 45, berkata inisiatif menghantar anaknya ke kelas renang dibuat selepas menyedari badan Muhammad Adam Zikry sering luka apabila pulang daripada berenang di Sungai Belat kerana terkena batu-batu sungai.

Siti Rohaida mengakui terharu dengan kejayaan anaknya menaiki podium kerana sukan renang adalah minat Muhammad Adam Zikry selain beliau sendiri melihat kesungguhan anaknya setiap kali mahu menyertai pertandingan.

“Adam (panggilan Muhammad Adam Zikry) istimewa…dia bukan seperti budak lain. Jadi untuk menguruskannya ke latihan juga boleh menjadi perkara yang mencabar, terutama jika anginnya tidak baik pada hari itu.

“Sebab itu, kejayaan Adam hari ini adalah perkara paling manis, bukan hanya untuk dirinya tetapi buat semua yang bersama-sama dengannya sejak mula dia berenang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Muhammad Adam Zikry, Mohd Rohaizal Mohd Rozali, 40, menyifatkan anak didiknya itu mempunyai masa depan cerah dalam sukan renang kerana semangatnya yang kuat dan rajin menjalani latihan. – BERNAMA