Sungai dikorek pelombong, hasil Orang Asal terjejas

Sungai dikorek pelombong, hasil Orang Asal terjejas
Salah satu projek perlombongan di Sungai Linggiu, Tenggara Johor

Azman Inam

Keluhan penduduk berkenaan dengan permasalahan sungai di kawasan kampung mereka masih tidak ada jalan penyelesaian yang konkrit.

Perkara itu disuarakan oleh Azman Inam, 42, penduduk asal Kampung Orang Asli Sungai Sayong Pinang, Tenggara Johor, yang mendakwa hasil utama penduduk kampung terjejas dengan permasalahan sungai.

“Punca pendapatan penduduk kampung sebagai nelayan sungai dan perkara yang berkaitan dengan alam semula jadi. Ia pastinya terjejas dengan permasalahan sungai yang berlaku ini.

“Kami tidak pernah menolak pembangunan namun pemantauan perlu ada serta ia tidak mengganggu ketenteraman awam dan semula jadi.

“Rizab sungai jangan diganggu dan jangan sungai dikorek serta merosak ekosistem kehidupan ikan di sungai,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang merupakan Orang Asal di kampung berkenaan berkata pendapatannya merosot dari RM30 sehari menjadi RM15 sehari dan ini menyebabkan beliau terpaksa mencari kerja lebihan.

Menurut seorang lagi responden, Mohd Salihin, 43, mendakwa sungai yang terbabit adalah Sungai Linggiu dan Sayong.

Katanya lagi, sungai-sungai tersebut didapati telah tercemar akibat perlombongan yang berlaku di sekitar kawasan sungai berkenaan.

“Saya dapati terdapat lebih dari 20 projek perlombongan pasir di kawasan sungai sekitar Sungai Linggiu dan Sayong.

“Dalam pemantauan pihak kami, ia dikhuatiri perlombongan tersebut tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan juga dibimbangi wujudnya pemberian permit palsu kepada pelombong.

“Perlombongan ini membabitkan beribu ekar dan mengakibatkan sekitar 4 hingga 5 kilometer sepanjang Sungai Linggiu mati,” ujarnya ketika ditemui di tapak perlombongan.

Ujar Mohd lagi, tindakan perlu diambil oleh pihak berwajib bagi menyekang aktiviti yang secara dasarnya telah merosakkan alam sekitar dan mengganggu pendapatan penduduk tempatan.

Beliau turut berkata, punca aliran Sungai Linggiu hari ini telah menjadi semak samun dan mati kerana perlombongan tersebut yang mengalihkan laluan sungai serta mengubah aliran sungai berkenaan.

Sebelum ini terdapat kes yang membabitkan Sungai Linggiu dan Sayong sehingga mengakibatkan ikan-ikan di kedua sungai berkenaan mati pernah dibangkitkan.
sebelum ini.