Malaysia Dateline

Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia

Sungai Furat atau dalam bahasa Arabnya, al-Fural, bermaksud air paling segar. Namun, kemarau teruk di Asia Barat sejak awal tahun lalu mengakibatkan paras air sungai itu surut dengan mendadak.

Keadaan kering kontang dialami sungai terpanjang di Asia Barat itu sehingga menampakkan dasarnya turut mengusarkan umat Islam dunia. Sebabnya, salah satu tanda kiamat ialah surutnya air Sungai Furat atau Euphrates.

Umat Islam perlu banyak beramal susulan ‘isyarat’ keringnya Sungai Furat.

Seorang ustaz muda menerusi TikTok atas akaun @al_imam memberitahu Sungai Furat yang mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq itu sudah menyusut sebanyak tujuh meter pada minggu lalu.

“Perkampungan yang lama tenggelam pun telah dijumpai.

“Di Iraq pada Jun lalu, penduduk tempatan menemukan tinggalan kota dan istana-istana purba di dasar sungai,” katanya.

Sehubungan itu, penceramah berkenaan menyeru agar umat Islam bersedia dengan melipatgandakan amalan seperti termasuk membaca dan menghafal 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi.

Beliau turut memetik sabda Baginda Rasulullah:

“Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya.

“Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu’. – [HR Muslim 5152].

Oleh sebab itu, orang Islam yang beriman tidak dibenarkan oleh Rasulullah untuk pergi ke sana mengambil emas tersebut.

Ustaz berkenaan menambah amalan membaca serta menghafal 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi dapat menjadi benteng keimanan yang kukuh daripada fitnah dajal.

Hal ini memandangkan surutnya Sungai Furat adalah antara tanda-tanda kecil kiamat yang akhir sebelum munculnya Imam Mahdi dan tanda besar kiamat yang seterusnya Dajjal.

Baca juga Jangan hanya tunggu Hari Raya, ustazah ini kongsi 7 tips dapatkan redha ibu bapa ketika berhijrah

Baca juga Pemanasan global makin serius, Ikon Ais Kutub Utara lihat sendiri banyak bongkah ais pecah dan hancur