Malaysia Dateline

Sungai jernih, tasik Kenyir luas, Terengganu juga hadapi gangguan bekalan air

Biasanya kita mendengar masalah bekalan air berlaku di Selangor dan Kelantan tetapi jarang kita dengar berlaku di Terengganu yang terkenal dengan sungainya yang jernih dan tasik Kenyir yang luas terbentang itu.

Namun semalam, sebahagian kawasan di Terengganu terutama di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah mulai semalam.

Menurut Syarikat Air Terengganu (Satu), sebagaimana di Selangor, gangguan ini berlaku ekoran daripada MASALAH TEKNIKAL iaitu berlaku di Loji Kepong 1, Serada, Kuala Terengganu.

Kawasan terlibat adalah Kuala Terengganu sebanya, 31,500 akaun pengguna dan Marang (8,700 akaun),

Menurut Satu, gangguan bermula pada 24.02.2021 (Rabu) jam 4.30 PETANG
manakala bekalan air dengan tekanan rendah dijangka pulih sepenuhnya pada 25.02.2021 (Khamis) jam 5.00 pagi ini.

Sementara itu, orang ramai mulai merasai masalah air di Terengganu sejak pagi semalam dan mula berkongsi di media sosial tentang masalah mereka.

Menurut Terengganufokus.com, sebuah laman web berpangkalan di Kuala Terengganu, sejak petang semalam, sebahagian netizen dan penduduk di Kuala Terengganu khususnya menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak menerima notis awal tentang gangguan bekalan air sehingga menyebabkan urusan harian mereka terganggu.

Ramai pengguna telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di beberapa kumpulan komuniti di Facebook dan Whatsapp.

Namun, Syarikat Air Terengganu (SATU) bertindak pantas menghantar lori lori ke beberapa kawasan bagi meringankan beban penduduk.

Antara kawasan yang terjejas ialah di Hiliran, Chabang Tiga, Pasir Panjang, Sekitar SK Tengku Bariah, Gong Kapas, Permint Perdana, Kampung Panji Alam, Pulau Kambing, Kg Duyong, Padang Midin, Serada dan lain lain tempat.