Malaysia Dateline

Sungai Kim Kim petanda berakhirnya karier MB Johor?

Pada 7 Mac 2019 adalah tarikh yang menjadikan negeri selatan Semenanjung panik apabila insiden pencemaran alam sekitar yang kronik telah melanda di kawasan Pasir Gudang Johor. Peristiwa berkenaan dengan alam sekitar ini adalah yang pertama kali berlaku di negara ini.

Seperti yang dimaklumi ramai, isu yang berlaku tersebut telah menggemparkan seluruh negara.

Namun pada hakikatnya apa yang berlaku di Sungai Kim Kim adalah berpunca kelalaian manusia menguruskan isu berkenaan alam sekitar.

Senang untuk dinyatakan bahawa peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim adalah satu ‘takdir’. Pelbagai persoalan yang pastinya timbul di kalangan masyarakat yang menumpang hidup di kawasan Pasir Gudang hari ini selepas peristiwa itu terjadi.

Suka untuk dibahaskan berkenaan dengan langkah-langkah proaktif pihak berwajib dalam menyelesaikan isu alam sekitar ini. Ramai yang memaklumkan isu ini adalah suatu perancangan yang tersusun atau gerakan secara senyap yang sememangnya menjadi suatu tanda tanya masyarakat sehingga terjawab dengan bencana yang melanda di Pasir Gudang tempoh hari.

Dalam tinjauan yang ditemui (pada permulaannya) keadaan panik memang berlaku dan ia mengundang pelbagai keresahan atau kebimbangan berkenaan status keselamatan kesihatan di kawasan yang ditimpa bencana tersebut.

Lebih memberi kesan kepada rata-rata masyarakat apabila kerajaan pada peringkat awalnya (7 Mac 2019) seolah-olah membiarkan sahaja perkara itu berlaku tanpa ada sebarang permakluman hanya yang ada pengisytiharaan beberapa sekolah ditutup.

Perkara itu telah membabitkan perhatian orang awam mula tertumpu kepada kebimbangan mereka. Sehinggalah perkara menjadi parah empat hari selepas tarikh tersebut, telah berlakunya suasana panik yang melibatkan beberapa kawasan, kampung, taman dan pekan terpaksa dikaji semula tahap kesihatan udaranya.

Dalam rekod, hal itu telah menimbulkan kebimbangan lain, di mana pihak kerajaan pada waktu itu dianggap seperti tidak menyediakan kelengkapan khusus pada peringkat awal sehinggalah berlakunya amaran pada tahap yang dipanggil ‘bahaya’ oleh orang awam.

Ini secara langsung melibatkan kredibiliti kerajaan dalam menguruskan soal bencana yang melanda di kawasan tersebut. Kita mungkin boleh memaafkan pihak kerajaan dengan menyatakan bahawa bencana seperti ini tidak pernah berlaku di negara ini jadi kurangnya pengalaman membuatkan kesediaan yang tidak rapi berlaku tetapi ianya tidak bagi pandangan masyarakat di tempat tersebut.

Dilihat pada 12 Mac 2019, sidang media pertama berkenaan dengan bencana Pasir Gudang baru dibuat. Kelewatan empat hari hakikatnya tidak mampu lagi untuk menghalang pelbagai berita ‘palsu’ yang sedang tersebar di laman maya berkenaan dengan bencana tersebut.

Penafian demi penafian telah dibuat hanya mendatangkan kemarahan serta kekeliruan kepada masyarakat bukan sahaja di Pasir Gudang malah juga turut membabitkan kawasan Johor selatan.Terdapat juga desakan dari pihak-pihak tertentu untuk kerajaan segera mengisytiharkan darurat di kawasan Pasir Gudang.

Ini adalah suatu yang sememangnya mencerminkan kerapuhan sebuah kepimpinan dan dari perkara itu ia terus menerus mendatangkan kemarahan masyarakat terhadap kepimpinan terutamanya di peringkat negeri.

Kredibiliti MB Johor

Kelangsungan hal itu, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian pada sidang media pertama telah mengeluarkan suatu kenyataan yang tidak munasabah bagi pandangan sesetengah pihak yang mula termakan dengan berita palsu tersebut.

Kenyataan MB Johor yang menggalakkan agar ‘penduduk hanya perlu tinggal di dalam rumah, menutup pintu dan tingkap’ tidak selari dengan pengetahuan yang diperolehi masyarakat.

Selain itu juga, masyarakat yang panik waktu itu telah merujuk kepada rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) berkenaan dengan pesakit yang dirawat akibat pencemaran yang berlaku.

Kredibiliti baru yang dihadam oleh masyarakat adalah kelemahan kepimpinan kerajaan negeri ini bermula dari ketua mereka yakni MB Johor. Ia sekaligus membunuh keyakinan dan kepercayaan masyarakat khususnya di kawasan Johor selatan terhadap MB Johor.

Ini adalah rekod yang menyatakan bahawa kepimpinan di bawah Osman Sapian selaku MB Johor terlalu lemah dan ia membuktikan bahawa tohmahan terhadap beliau selama ini disifirkan sebagai perkara yang benar.

Bukan dengan itu sahaja, dalam kekalutan dan hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan Osman, beliau telah dikhabarkan mampu keluar negara (Batam, Indonesia) untuk urusan pentadbiran negara (seperti dinyatakan beliau). Sekali lagi api yang marak telah disimbahi dengan minyak untuk lebih membara.

Kepincangan ini jelas menyatakan MB Johor sudah tidak mampu untuk mentadbir negeri ini dan masyarakat umumnya telah hilang kepercayaan terhadap beliau. Rata-rata netizen yang diamati memperlihatkan kenyataan yang tidak langsung membela diri Osman Sapian.

Tempelak yang diperolehi oleh MB Johor diakhiri dengan parah apabila pada hari-hari akhir bencana Pasir Gudang mahu dirumuskan, terdapat berita yang menyatakan bahawa wartawan dihalau dari tempat yang disediakan untuk sidang media.

Dalam kronologi ini jelaslah MB Johor hari ini seperti meletakkan dirinya senasib dengan telur di hujung tanduk dan hanya menanti rebah.

Personaliti seorang MB seperti Osman Sapian dari awalnya dimulakan dengan kontroversi sehingga ia mengundang tidak senang di kalangan rakyat di negeri ini.

Ketika saya bertemu dengan masyarakat Johor hari ini boleh dikatakan hampir semua tidak bersetuju dengan pentadbiran beliau sebagai MB Johor.

Ini adalah petanda parah kepada kepimpinan PH di negeri ini dan lebih parah lagi apabila melihat beliau seperti sendirian tanpa ada sebarang pembelaan dari pihak rakan.

Dalam tinjauan yang dibuat keseluruhan masyarakat di negeri ini menyatakan Osman Sapian adalah seorang MB Johor yang paling gagal.

Adakah pandangan masyarakat sekarang ini adalah suara yang akan menyatakan berakhirnya karier Osman Sapian sebagai MB Johor?