Malaysia Dateline

‘Sungai Kota Kinabalu’ terpanjang di Malaysia – ‘Baik duduk Israel sajalah kau, dik!’

Boleh pula ada yang selamba menjawab ‘Sungai Kota Kinabalu’ sebagai sungai terpanjang di Malaysia. Entah apa reaksi guru Geografi mendengar jawapan ‘jujur’ seperti ini.

Jawapan spontan generasi TikTok itu sekaligus mengundang kecaman dan sindiran warganet termasuk menganggap lebih baik dia duduk di Israel.

Rata-rata warganet kecewa dan serba salah untuk ketawa apabila melihat teruknya tahap pengetahuan sesetengah bakal pengundi baharu ini mengenai negaranya sendiri yang diibaratkan ‘ke laut’.

Reaksi tersebut susulan rakaman Kuiz Hari Malaysia yang dikongsi menerusi Facebook Leeyanarahman.co terhadap sekumpulan anak muda majoritinya gadis termasuk dalam kategori cantik paras rupanya.

Bagi soalan Kadazan merupakan etnik dari negeri mana, seorang gadis bertudung perang menjawab ‘Sarawak’ walaupun itu jelas merupakan kaum Bumiputera yang terbesar di Sabah.

Sementara itu, ‘kucing’ dan ‘burung wak wak’ pula disangkakan terpampang pada jata negeri Sarawak atau mungkin gadis itu sama sekali tidak tahu ‘jata negeri’ itu apa!

Muncul juga jawapan ‘dangdut’ yang dengan yakin diberikan seorang gadis ketika ditayangkan petikan video tarian igal-igal yang merupakan tarian suku kaum Bajau Semporna di Sabah.

Selain dilihat begitu ‘ke laut’ pengetahuan am mengenai Sabah dan Sarawak, mereka yang akan terkinja-kinja melompat sambil mengetawakan kelemahan diri juga dilihat buta sejarah asas pembentukan Malaysia.

Ada yang menjawab spontan ‘Putrajaya’ apabila ditanya suruhanjaya apa yang bertanggungjawab atas penyusunan semula Perlembagaan.

Imej di belakang wang kertas RM1 pula dikatakan ‘layang-layang’ dan kelihatan terpinga-pinga untuk membetulkan jawapan salah itu kepada ‘wau’ apabila diberi beberapa saat untuk berbuat demikian.

Namun, beberapa peserta kuiz lelaki dilihat menjawab yakin soalan ditanyakan termasuklah ‘Bersekutu bertambah mutu’ yang merupakan moto kebangsaan pada jata negara kita.

Baca juga Isu dengan Sabah, Sarawak boleh diselesaikan

Baca juga Seorang lelaki dipercayai maut dibaham buaya