Sungai Tebrau sungai ke-53 tercemar di dunia, kerajaan Johor gagal selesai isu alam sekitar

Oleh KIM SYAZIE

Isu terbaharu yang membabitkan pencemaran sungai di  Johor telah menjadi perbualan hangat pelbagai pihak.

Sungai Tebrau yang dikatakan menduduki tempat ke 53 sungai paling tercemar di dunia, memberi tamparan hebat kepada kerajaan di negeri itu.

Hal itu dinyatakan oleh Penolong Setiausaha AMANAH Johor, Zainuzabha Baharom yang kecewa dengan nama jolokan terhadap sungai tersebut.

“Sekali lagi Johor menjadi negeri yang dikenali sebagai mempunyai liabiliti sungai tercemar dalam negara ini.

“Kali ini umum telah ketahui ia membabitkan Sungai Tebrau. Sebelum ini pun banyak lagi sungai di negeri ini yang menimpa nasib yang sama seperti Kim Kim, Cin Cin dan banyak lagi.

“Apa yang lebih memeritkan apabila perkara itu direkodkan oleh dunia dan kerajaan negeri (Johor) sebelum ini tidak memandang penting berkenaan perkara tersebut,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan sikap ambil sambil lewa dari kerajaan Johor berhubung dengan isu pencemaran sungai dan alam sekitar ini akan mengundang padah.

Tambahnya, hal itu amat memalukan bila dunia mulai memerhatikan alam sekitar yang dikhususkan terhadap negeri ini.

“Sebelum ini AMANAH berulang kali menyebut tentang perkara ini sehingga kita juga memberikan pandangan untuk memasukkan bajet bagi pemulihan alam sekitar termasuklah sungai di Johor ini.

“Selain itu kita juga melihat kerajaan Johor ini tidak mampu untuk menyelesaikan isu alam sekitar dan ia akan menjadi masalah kepada rakyat di negeri ini sekiranya perkara ini tidak diselesaikan kerajaan,” tegasnya lagi.