Malaysia Dateline

Sungailah! Bukan longkang!

Mungkin ada warga Universiti Malaya (UM) sendiri menganggap laluan air di Lingkungan Budi selepas pintu gerbang sebelum masuk ke perkarangan Fakulti Undang-undang itu sebagai longkang.

Padahal, itu ialah Sungai Anak Air Batu yang sebelumnya mengalir dari tepi Jalan Medang Kapas di Bukit Bandaraya hingga ke Kerinchi Link sebelum masuk ke kawasan kampus UM.

Penghuni Kolej Za’ba (KK7) pula boleh melihat Sungai Pantai mengalir dekat pintu gerbang kediaman mereka.

Papan tanda nama sungai itu turut menyebutkan, “Hargailah Sungai Kita” bukannya “Hargailah Longkang Kita”. Hanya mungkin tebing dan dasarnya telah dikonkrit jadi sekilas pandang nampak seperti longkang.

Berdekatan Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12) pula ada Sungai Mustafa.

Anak sungai di Universiti Malaya mengalir jernih dihiasi bunga dan pepatung berterbangan.

Pagi tadi selepas berjogging, saya juga sempat meninjau anak sungai jernih mengalir dari tepi Perpustakaan Utama menghala ke belakang Kompleks Perdanasiswa masuk ke Tasik Varsiti.

Ada anak ikan menari di dasarnya dengan pepatung berterbangan. Di Tasik Varsiti juga, ada kumpulan itik yang riang mandi dan menyelam umpama tuan puteri dan dayang-dayang dalam filem klasik Melayu.

Serentak itu, burung berkicauan di pohon nan rendang. Alangkah damai ketika kampus UM dikelilingi rakus projek hartanah mewah dan dijarah pelbagai rupa pencakar langit mampu lihat bukan mampu milik oleh majoriti rakyat di negara ini.

Sungai Pantai berkaitan dengan nama tempat Pantai Dalam yang sejak beberapa tahun lalu cuba diubah oleh pemaju kepada Pantai Sentral Park seperti pupusnya nama Kampung Abdullah Hukum menjadi KL Eco City.

Malah, nama asal sekitar kawasan Kampung Abdullah Hukum dipanggil Sungai Putih. Daripada namanya saja, kita boleh bayangkan aliran sungai nan jernih kira-kira lebih 100 tahun lalu.

Kesedaran menghargai sungai bermula dari kampus universiti.

UM boleh dianggap telah berjaya membuktikan kesedaran menghargai sungai mesti bermula dari dalam kampus sendiri. Kelestarian sungai penting lambang masyarakat yang maju akal budinya.

Kesemua aliran sungai kecil yang jernih di UM akan mengalir ke pintu gerbang UM (pagar KL) dan di tepi Masjid Ar-Rahman terus ke Menara TM sebelum masuk ke Sungai Klang.

Namun, sayang seribu kali sayang, aliran jernih dari Sungai Anak Air Batu dan Sungai Pantai kemudiannya terhumban ke Sungai Klang yang merupakan antara sungai paling teruk tercemar di negara ini.

Kalau anda berjogging di UM menempuh kawasan antara Akademi Pengajian Islam hingga ke Kolej Kediaman Kinabalu (KK8), anda akan dapat menghirup ‘bau’ hutan.

Ya! Ada hutan di tengah UM dengan keluasan kira-kira 80 hektar mengandungi hampir 1,700 spesies tumbuhan. Itulah Taman Botani Rimba Ilmu. Ibarat baki paru-paru hijau yang masih ada di Kuala Lumpur.

Kelestarian sungai penting lambang masyarakat yang maju akal budinya.
Puluhan itik dan angsa bermain di Tasik Varsiti sekali gus jadi petunjuk kualiti air yang bersih dalam kawasan kampus.