Malaysia Dateline

Suntik DNA AMANAH elak parti jadi transit

Mengimbau kenangan tertubuhnya AMANAH empat tahun lalu, pendekatan yang dibawa oleh pimpinan Pas terbahagi kepada dua.

Sebahagian mahu meneruskan perjuangan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) yang dipelopori oleh golongan profesional, manakala satu pihak lagi mahu keluar dari PR dan mencari jalan perdamaian dengan Umno-BN yang dipimpin oleh golongan konservatif dalam Pas.

Akibat perbezaan ini tidak diuruskan dengan baik, maka krisis dalaman Pas semakin melebar. Akibatnya, 18 pimpinan Pas dari golongan pro-PR tersingkir dari pemilihan Pas. Kesemua yang tersingkir dalam pemilihan Pas dan pengikut pro-PR, telah membuat keputusan yang sangat penting iaitu keluar dari Pas dan menubuhkan parti yang baru.

Keputusan untuk menubukan parti baru adalah hasil perbincangan yang sangat panjang. Pimpinan yang terlibat mencatur keputusan yang sangat sukar memandangkan sokongan rakyat semakin meningkat untuk menjatuhkan Umno-BN, keputusan yang dibuatkan akan mempengaruhi sokongan rakyat.

Pelbagai strategi dibuat untuk memastikan sebuah parti baru diwujudkan. Mereka sepakat untuk melantik Anuar Tahir sebagai pemain utama bagi memastikan parti baru dapat diwujudkan.

Anuar seorang yang berpengalaman luas untuk menubuhkan parti baru, beliau pernah menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi parti paling banyak kerusi dalam PH.

Kesukaran menubuhkan parti baru akibat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di bawah kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang semasa itu menterinya adalah Umno-BN, maka mereka telah bersetuju untuk mengambil alih parti sedia ada iaitu Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan dijenamakan dengan nama Parti Amanah Negara atau ringkasnya AMANAH.

Tertubuhnya AMANAH pada 16 September 2016, adalah satu gerakan politik yang baru dan dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14).

AMANAH bertanggungjawab meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Pas setelah PR dibubarkan. Selain AMANAH, parti yang diwujudkan oleh bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan parti komponen baru dalam PH.

Keempat-empat parti komponen ini berpadu tenaga dalam PRU Ke-14 untuk menjatuhkan Umno-BN. Kisah yang paling menarik perhatian adalah kesediaan untuk AMANAH beralah pada kerusi-kerusi tertentu untuk dipertandingkan pada PRU Ke-14 bagi memberi laluan kepada parti komponen yang lain agar kesepakatan PH itu dapat diteruskan.

AMANAH satu-satunya parti yang mempunyai sayap wanita muda secara rasmi dalam Pakatan Harapan.

Tuah dan ujian

Akhirnya, tuah menyebelahi PH apabila berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah. Keberadaan AMANAH dalam PH telah membolehkan AMANAH menjadi sebahagian dari kerajaan Malaysia yang baru dibentuk.

Daripada 11 ahli parlimen AMANAH yang menang, 9 dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, manakala 3 senator yang dilantik, seorang menjadi timbalan menteri selain yang lain memegang jawatan dalam agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, di peringkat negeri, AMANAH berjaya menempatkan seorang ketua menteri, sebilangan exco-exco kerajaan negeri dan seramai 60 orang ADUN diseluruh negara. Semestinya bagi AMANAH sebagai sebuah parti yang baru berusia 3 tahun ketika itu, kurniaan ini adalah satu tuah bagi AMANAH. Seharusnya, peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk AMANAH melebarkan pengaruhnya.

Kesan dari kemenangan AMANAH melalui PH dalam PRU Ke-14 yang lalu, penyertaan ahli AMANAH meningkat dengan mendadak. Sehingga konvensyen AMANAH yang dijalankan awal bulan disember 2019, Kawasan Pasir Mas menjadi kawasan paling ramai keahliannya. Ia satu yang mengejutkan kerana kawasan ahli terbanyak itu dari negeri yang dikuasai oleh Pas sebagai pembangkang persekutuan.

Hasil kemasukan ahli yang ramai dalam AMANAH, pastinya AMANAH mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang. Mereka terdiri daripada bekas ahli Pas, golongan profesional yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik dan ada juga dari golongan atasan.

Ahli yang ramai dalam AMANAH mungkin menjadi satu kejayaan. Namun, jika kepelbagaian ini tidak diurus dengan cermat, ia mampu mendatangkan masalah kepada parti. Kita harus melihat kepada sejarah Pas mengapa AMANAH itu tertubuh.

Ini berpunca daripada ketidakupayaan mereka dalam menguruskan perbezaan dan kepelbagaian. Amat malang jika AMANAH juga mengalami masalah yang sama dalam usia yang sangat muda.

AMANAH berada di belakang PKR dalam membina parti yang pelbagai kaum. Walaupun sebenarnya DAP adalah parti pelbagai kaum, namun ia lebih cenderung kepada kaum bukan Bumiputera.

PKR lebih menonjol dalam membawa idealisme kemajmukan ini dan AMANAH berada di belakangnya. Apa yang menyebabkan PKR itu bertahan sehingga hari ini dan mampu menjadi parti yang dominan dalam PH?

Perjalanan organisasi yang sistematik serta idealisme yang digilap pada setiap ahli adalah langkah strategik yang diambil oleh PKR untuk terus kekal dalam arus politik negara.

Selain dari wujudnya kepelbagaian ini, tahap pengekalan ahli untuk berada dalam AMANAH sangat rendah.

Salah satu sebab mengapa ahli kerap keluar dan masuk AMANAH adalah kerana ahli tidak jelas atas prinsip yang dibawa oleh pimpinan AMANAH khususnya semasa mentadbir kerajaan.

Prinsip yang dibawa oleh AMANAH sama dalam politik atau pentadbiran adalah kukuh dan jelas, namun kegagalan kita untuk menerangkan kepada ahli-ahli bawahan menyebabkan ahli cenderung untuk beralih arah.

Tidak cukup dengan ucapan Pidato Presiden di konvensyen nasional dan konvensyen negeri, ahli harus diberi penerangan yang lebih formal agar semua ahli dapat memahami prinsip ini. Kegagalan AMANAH mengikat ahlinya dengan nilai dan prinsip yang dibawa oleh AMANAH mampu menjadikan AMANAH sebagai parti transit semata-mata.

AMANAH membawa pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin (IRLA) atau Islam rahmat untuk semua. Pendekatan ini bukan binaan pimpinan AMANAH semata-mata, ia adalah pendekatan yang dibawa oleh ulamak-ulamak kontemporari seluruh dunia.

Ia pendekatan yang bersesuaian mengikut keadaan semasa tanpa mengadaikan syariah Islam. Setelah diberi tanggungjawab untuk memerintah, pimpinan AMANAH tidak kekok untuk menerapkan prinsip IRLA dalam tugasaan mereka.

Dasar-dasar yang dibawa oleh menteri-menteri AMANAH menerapkan nilai IRLA terutamanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Persoalan yang timbul, pimpinan mungkin memahami bagaimana pendekatan IRLA diserap dalam pentadbiran, namun ahli-ahli di bawah yang dipilih menjadi Ketua Kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ahli majlis dan pentadbir agensi-agensi di bawah kerajaan masih tidak mampu mengaplikasikan pendekatan ini dalam pentadbirannya.

Hal ini berlaku kerana tidak berlakunya proses penurunan ilmu dan maklumat tentang aplikasi IRLA dalam pentadbiran secara formal kepada ahli bawahan. Ini menyebabkan ahli-ahli yang diberi tanggungjawab untuk memimpin diperingkat bawahan terkapai-kapai mencari hala tujunya.

Perkaderan AMANAH mampu menyelaraskan kepelbagaian yang wujud dalam parti.

Perkaderan AMANAH

AMANAH sebagai parti yang dianggotai pelbagai latar belakang dan kaum perlu mewujudkan satu sistem perkaderan yang formal melibatkan semua lapisan ahli termasuk Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN), Pemuda dan Wanita Muda AMANAH (WARDA).

Aspek perkaderan yang diwujudkan mampu menyelaraskan kepelbagaian yang timbul dalam organisasi. Dalam perkaderan, dasar dan tujuan AMANAH ditubuhkan akan didedahkan kepada ahli secara formal.

Dalam keadaan ini, ahli akan memahami secara terperinci apakah yang AMANAH akan bawa dalam arena poitik tanah air. Bekas ahli Pas akan meninggalkan pendekatan lamanya dan membawa pendekatan baru yang dikaderkan oleh dasar AMANAH.

Golongan yang baru menyertai politik, akan dibimbing cara berpolitik dan fahamannya tentang politik mengikut acuan AMANAH. Begitu juga dengan golongan atasan, apabila menjalani proses perkaderan ini, sumbangan mereka dari segi idea dan kewangan boleh diberikan kearah mengukuhkan pendekatan kearah dasar AMANAH.

Pengekalan ahli dalam sesebuah parti bergantung kepada prinsip yang dibawa. Oleh itu, AMANAH yang mempunyai prinsipnya tersendiri boleh menjadi pengikat kepada ahli untuk terus istiqamah dalam parti.

Arah tuju parti juga akan menjadi satu aspek penting untuk memastikan ahli yang tidak terlibat terus dalam AMANAH atau erti kata lain, pegangannya selalu goyang, mampu dipertahankan dengan pendedahan arah tuju dan prinsip dalam AMANAH.

Oleh yang demikian, satu proses perkaderan yang formal yang diwujudkkan mampu membantu perkara ini di selesaikan. Melalui proses perkaderan, pimpinan AMANAH yang menjadi pentadbir disetiap lapisan kerajaan, boleh menjelaskan dan menyebarluaskan dasar-dasar yang mereka buat dalam pentadbiran mereka.

Semestinya dasar yang diterangkan itu adalah dasar yang berkait rapat dengan pendekatan dan prinsip yang dipegang oleh AMANAH. Dengan adanya proses ini, ahli tidak ketandusan idea untuk menjalankan program penerangan kepada rakyat, dan mereka akan bergerak lebih aktif walaupun bukan di musim pilihan raya kerana banyak maklumat dan dasar yang boleh mereka sampaikan.

Kita mengetahui bahawa dasar dan program yang dilakukan oleh pentadbir kerajaan sering berubah-ubah, langkah untuk menerapkan dasar dan aktiviti yang pimpinan AMANAH lakukan sebagai pentadbir kerajaan dalam proses perkaderan AMANAH adalah perlu, namun ia harus dikemaskini sekerap yang mungkin, agar penjelasan yang dilakukan berada pada tahap terkini.

Misalnya, melalui Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama, banyak dasar dan aktiviti yang dilakukan, antaranya menerapkan guru kontrak agama sebagai guru tetap, memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang besar untuk sekolah tahfiz seluruh negara, dan penggubalan undang-undang syariah yang bertujuan meningkatkan taraf undang-undang ini ketahap yang lebih tinggi.

Namun, kegagalan maklumat ini disampaikan kepada ahli secara formal, telah menyebabkan ahli juga turut termakan dengan berita palsu yang diwujudkan oleh pihak pembangkang.

Maka, dalam perkaderan AMANAH ini, segala dasar dan program pimpinan AMANAH yang menjadi pentadbir kerajaan perlu dijelaskan kepada ahli, degan harapan penjelasan itu mampu dijalankan oleh pimpinan peringkat akar umbi untuk menepis segala berita palsu yang dilakukan oleh pihak lawan.

Hujah yang padu dari pak menteri AMANAH kepada ahli, menjadikan ahli akar umbi berani untuk terus berhadapan dengan masayarakat untuk memberi penjelasan. Namun, jika maklumat dan penjelasan yang diperoleh oleh ahli AMANAH kabur, siapa berani berhadapan untuk menerangkan pada masyarakat?

Melalui proses ini, AMANAH perlu menerangkan kepada ahli tentang prinsip yang AMANAH bawa kepada ahli, agar ahli di peringkat akar umbi akan membina program bertunjangkan prinsip ini. AMANAH yang bergerak atas tiga prinsip, iaitu Islam Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Fiqh Malaysia.

Oleh itu, tiga prinsip ini perlu dikuasai oleh semua ahli dan pimpinan AMANAH, bukan sekadar menjadikan ahli itu mampu membuat program berdasarkan prinsip ini, malah apabila giliran mereka menjadi pimpinan nanti, prinsip AMANAH tidak lari kerana telah dipelajari dan difahami.

Bukankah larangkan merokok tiga meter dari kawasan gerai makanan adalah antara dasar yang berpaksikan maqasid syariah dibawah subtopik keperluan menjaga nyawa? Namun, pekara ini gagal difahami oleh ahli AMANAH kerana kurangnya proses perkaderan.

Ini adalah keutamaan proses perkaderan, iaitu menjelaskan dan memberi kefahaman yang maksima kepada ahli tentang prinsip-prinsip AMANAH. Gagal melaksanakan perkaderan secara sistematik, seolah-olah membiarkan sebahagian ahli bocor dengan ilmu dan maklumat tentang AMANAH. Hal ini akan menyebabkan pendekatan yang dibawa oleh pihak lawan melalui isu perkauman mampu menguasai pemikiran masyarakat.

Segala dasar dan program pimpinan AMANAH yang menjadi pentadbir kerajaan perlu dijelaskan kepada ahli.

Kaedah Modular

Bagi menjalankan proses perkaderan ini kepada semua ahli AMANAH, kita perlu mengenalpasti kaedah yang sesuai untuk melaksanakannya. Kaedah yang dibina haruslah membawa aspirasi AMANAH sebagai parti Islam yang membawa pendekatan yang progresif. Selain itu, kaedah yang dibina pastinya canggih seiring dengan perubahan zaman.

AMANAH menjadi parti pertama yang menggunakan E-Vote satu aplikasi teknologi sabagai alat pengundi dalam Pemilihan AMANAH baru-baru ini. Pastinya kaedah perkaderan yang AMANAH akan bina setaraf atau lebih canggih dari itu.

Oleh itu, pandangan saya, proses perkaderan ini perlu bermula dengan pembinaan modul khas AMANAH. Dalam modul tersebut, terkandungnya beberapa bab yang menjelaskan tentang sejarah penubuhan AMANAH, tiga prinsip yang dibawa oleh AMANAH iaitu Islam Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Fiqh Malaysia.

Kemudian, dalam modul asas ini, perlu diisi juga tentang sistem pemerintahan Malaysia. Hal ini penting untuk mendedahkan kepada ahli sistem yang diamalkan di negara kita.

Kegagalan memahami sistem pemerintahan ini menyebabkan ada ahli yang masih percaya bahawa pemimpin DAP akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia kelak. Akhir sekali, dalam modul itu harus dipaparkan idea dan pendekatan yang dibawa dari tokoh-tokoh gerakan Islam yang memegang aspirasi yang dibawa oleh AMANAH. Tokoh seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Dr.Yusof Qardhawi antara yang perlu dimasukkan dalam modul ini.

Modul ini harus wajib dijalani oleh semua ahli setiap lapisan sama ada ahli biasa, Pemuda AMANAH, AWAN dan WARDA. Sama ada ahli yang baru menyertai politik atau ahli yang masuk dari parti yang lain, harus menjalani kursus ini.

Ia akan membina DNA AMANAH kepada semua ahli. Selain itu, ia perlu dijadikan antara syarat untuk dipilih sebagai pimpinan AMANAH pelbagai peringkat termasuk ahli yang akan dipilih dalam lantikan politik dalam kerajaan.

Setiap yang mahu menjadi pimpinan AMANAH pelbagai peringkat dan dilantik ke jawatan politik wajib selesai menjalani kursus ini. Dengan harapan pimpinan ini akan membawa aspirasi yang dibawa oleh AMANAH.

Semestinya, pembinaan modul ini perlu dibina oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri dari pakar-pakar yang mahir dalam bidang yang disebut dalam modul ini. Selain itu, ahli AMANAH yang terlibat dengan kerap membina modul untuk kepimpinan atau di sekolah boleh menyumbang dalam pembinaan modul ini.

Modul ini akan menjadi dokumen utama kepada AMANAH untuk melahirkan ahli-ahli yang faham pendekatan AMANAH, mampu mengaplikasikan prinsip AMANAH dalam masyarakat dan istiqamah dalam parti.

Modul ini boleh dijalankan dalam kursus asas keahlian parti yang dijalankan oleh AMANAH Negeri masing-masing dalam tempoh dua kali setahun. Sekurang-kurangnya, ahli yang baru menjadi ahli parti tidak ditinggalkan lama sebelum fikiran mereka disuntik dengan nilai-nilai AMANAH.

Betapa banyaknya sebab mengapa AMANAH perlu menggerakkan perkaderannya mulai sekarang. Ia bukan agenda sampingan, tapi ia adalah agenda utama yang perlu dilaksanakan.

Saya antara pemimpin Pemuda AMANAH peringkat akar umbi bersedia menjadi salah seorang penggerak kepada pelaksanaan perkaderan dalam AMANAH. Ahli parti perlu bersedia menjalani proses perkaderan ini demi mengekalkan keutuhan dan idealisme parti.

*Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.

AMANAH menjadi parti pertama yang menggunakan aplikasi e-undi dalam pemilihan parti.