Sunway Property sasar jualan RM1.3 bilion untuk tahun kewangan 2019

Sunway Property sasar jualan RM1.3 bilion untuk tahun kewangan 2019

Sunway Property, bahagian perniagaan hartanah Sunway Bhd telah menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019,  walaupun telah mencapai jualan sebanyak RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Sarena Cheah berkata sasaran konservatif itu adalah sama dengan sasaran asal pada tahun lepas, tetapi syarikat telah berjaya melepasi sasaran sehingga mencecah RM1.8 bilion disebabkan oleh jualan di China dan Singapura.

Kedua-dua negara menyumbangkan 40 peratus daripada jumlah jualan.

“Untuk tahun ini, kami akan melancarkan projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion, yang mana RM1 bilion akan disumbangkan dari Malaysia dan selebihnya dari Singapura.

“Diharapkan, pelancaran baharu ini akan menyumbang lebih banyak jualan kepada syarikat,” katanya selepas pelancaran Skim Pemilikan Rumah Mudah Super 5  di sini hari ini.

Beliau ketika ditanya mengenai hartanah syarikat yang masih tidak terjual, mendedahkan bahawa nilai GDV yang terlibat adalah antara RM400 juta hingga RM500 juta, majoriti melibatkan pembangunan di Iskandar Malaysia.

“Itulah sebabnya mengapa kami berusaha dalam membangunkan bandar berkenaan.

“Sekarang ini, kami memiliki kira-kira RM500 juta pelaburan di kawasan itu (Iskandar Malaysia), termasuk pengembangan Sunway International School, pusat membeli-belah, pejabat dan hotel,” katanya.

Menurut Cheah, Sunway Propert telah membuat pelaburan bernilai RM2.5 bilion dalam pembinaan, di mana RM1.6 bilion adalah untuk projek-projek di Bandar Sunway, merangkumi pembesaran Pusat Perubatan Sunway dan Sunway Monash University Residences.

Beliau juga berkata syarikat akan memperolehi lebih banyak simpanan tanah terutama bagi projek-projek pembangunan berorientasikan transit dan jenis bercampur-campur di Malaysia, Singapura, Australia dan United Kingdom.

Sehingga kini, syarikat itu mempunyai simpanan tanah sebanyak 1,331.01 hektar, dengan jumlah GDV mencecah RM56.8 bilion.

Daripada jumlah itu, 54 peratus terletak di Johor, 25 peratus di Lembah Klang, enam peratus di Pulau Pinang, satu peratus di Singapura dan 14 peratus di negara-negara lain.

Katanya, jualan belum dibilkan syarikat adalah berjumlah RM2.1 bilion.

Cheah ketika mengulas mengenai skim pemilikan rumah yang baru dilancarkan itu, berkata kempen tersebut membolehkan pembeli untuk membayar RM5,000 serta memilih pelan ansuran yang bersesuaian.

Di bawah skim itu, kumpulan syarikat Sunway akan menawarkan jaminan pembiayaan 95 peratus bagi pembeli yang layak dengan kadar faedah istimewa semasa tempoh kempen yang bermula dari 1 Jan hingga 30 Jun 2019.

— BERNAMA