SUP Mat Sabu tempelak Pemuda Umno perlekeh kewibawaan Menteri, Timbalan Menteri Pertahanan

SUP Mat Sabu tempelak Pemuda Umno perlekeh kewibawaan Menteri, Timbalan Menteri Pertahanan
(kiri) Liew Chin Tong dan (kanan )Mohamad Sabu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan Mohd Azhar Mat Dali hari ini menempelak Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana mendakwa Mohamad Sabu di bayangi timbalannya Liew Chin Tong.

Menurut Mohd Azhar kenyataan Dr Asyraf itu sesuatu yang melucukannya sebagai pemimpin parti lawan yang cuba membawa naratif negatif sedemikian.

“Saya hanya tersenyum melihat gelagat pemimpin parti lawan yang cuba membawa naratif dan persepsi kononya anak muda DAP, Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan lebih menonjol dalam mengangkat dan berwacana tentang polisi pertahanan berbanding Abg Mat.

“Mungkin pihak-pihak ini sudah kekeringan idea untuk mencari silap Abg Mat. Mungkin juga terlalu naif dalam memahami pembaharuan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dek kerana terlalu sebati dan terkongkong dengan cara regim Umno sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azhar Mat Dali

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr Asyraf Wajdi dalam yang mempersoalkan siapa sebenarnya menteri pertahanan? Ini kerana beliau merujuk kepada satu temubual yang diadakan oleh News Straits Times dengan Liew yang dakwanya lebih menyerlah dalam wawancara mengenai dasar dan politisi pertahanan negara.

“Apa pendapat semua?” soal Dr Asyraf di laman facebooknya hari ini.

Tambah Mohd Azhar lagi, kerajaan Pakatan Harapan sentiasa mengamalkan keterbukaan dalam memberi pandangan dan idea, apatah lagi oleh golongan muda dalam membina dan mengangkat semula negara ini.

Justeru katanya, melihat anak muda sebagai aset negara, segala pandangan dan idea yang baik untuk negara yang dilontarkan oleh golongan ini akan dirai malah ditonjolkan oleh kerajaan hari ini.

“Chin Tong contohnya, seorang anak muda yang kritis dan sarat dengan pandangan-pandangan membina ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang ideal.

“Saya secara peribadi mengenali beliau agak rapat khususnya dalam usaha memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu. Malah penulisan-penulisan beliau merentas isu dalam dan luar negara amat bersesuaian dengan posisi beliau sebagai Pengarah Strategi Parti Tindakan Demokratik.

“Saya antara paling gembira apabila beliau dipilih oleh YAB Perdana Menteri sebagai Timbalan Menteri Pertahanan bagi membantu Abg Mat kerana saya tahu kemampuannya.

“Sebab itu seawal hari pertama menjalankan tugas Timbalan Menteri Pertahanan, beliau dan Abg Mat, telah mampu menjadi satu pasukan yang lebih mantap,” jelasnya lagi.

Mohd Azhar berpandangan ‘boss’nya itu sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam politik, orang lama dalam perjuangan amat bijak menilai dan memilih regu dan pasukan kerja beliau.

Katanya Mohamad yang juga Presiden AMANAH itu telah memberikan tugas dan peranan khusus kepada Chin Tong khususnya dalam membantu kementerian menyiapkan Kertas Putih Pertahanan.

“Bagi tujuan ini, Abg Mat membuka ruang seluas-luasnya kepada Chin Tong dan sesiapa sahaja untuk menggarap dan melontar idea selagi mana ia dalam ruang lingkup Kementerian.

“Perbincangan antara kedua-duanya sering kali berlaku malah melibatkan juga kepimpinan tertinggi Kementerian bagi memastikan sesuatu isu dapat difahami dan diputuskan secara bersama. Maka, tidak timbul soal siapa yang lebih menonjol kerana semua perkara yang dibangkitkan adalah dalam pengetahuan bersama.

“Saya yakin, perkara sebegini tidak pernah berlaku pada masa pemerintahan lalu. Semuanya tunduk dan akur kepada kleptokrat negara,” tegasnya.