Malaysia Dateline

Super Kip kembali ke Moto3 musim hadapan

Pelumba Malaysia Khairul Idham Pawi akan kembali ke kategori Moto3 musim hadapan yang beliau pernah menang dua perlumbaan, pada musim pertamanya pada 2016.

Pelumba berusia 21 tahun itu akan menunggang dalam Pasukan PETRONAS Sprinta Racing, bersama John McPhee.

Pelumba berasal dari Perak yang juga dikenali sebagai Super KIP, memulakan kariernya dalam perlumbaan Grand Prix dalam kelas Moto3 dengan gayanya tersendiri, memenangi perlumbaan keduanya sebagai pelumba sepenuh masa, sebelum memenangi satu lagi perlumbaan pada tahun yang sama.

“Saya gembira kerana dapat terus bersama pasukan ini untuk satu tahun lagi, kerana ia seperti satu keluarga besar. Saya maklumkan yang saya mahu kembali ke Moto3, dan mereka berikan satu peluang terbaik kepada saya.

“Ia sesuatu yang memang hendak saya lakukan, kerana pada 2016 saya hanya dapat berlumpa satu musim dan saya masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari. Dengan berada bersama seorang pelumba berpengalaman seperti John, ia juga akan berikan kelebihan pada saya. Sasaran saya untuk 2020 ialah untuk mencuba yang terbaik dan berada dalam kumpulan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan berterusan terhadap kecederaan yang saya alami di Grand Prix Sepanyol pada Mei tahun ini, KIP telah menjalani pembedahan buat kali ketiga pada Selasa di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur.

Rancangan pemulihannya sekarang ini adalah untuk persediaan bagi musim 2020, yang bermakna beliau tidak akan kembali ke Moto2 pada 2019 dan akan digantikan dengan Adam Norrodin bagi baki perlumbaan musim 2019.

“Pemulihan kecederaan saya mengambil masa lama, sesuatu yang menyedihkan. Saya tidak dapat berbuat banyak selain terus berusaha, namun berharap pembedahan terakhir ini akan membantu saya untuk pulih,” katanya.

Sementara itu Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata, selepas menganalisa pilihan yang ada, pasukan telah membuat keputusan yang terbaik bagi memberikan rawatan terbaik untuk kecederaan tangannya dan memberikan masa untuk pemulihan sepenuhnya berbanding meminta beliau untuk kembali berlumpa Moto2 tahun ini.

“Dengan KIP kembali ke Moto3 tahun hadapan, beliau akan berada dalam situasi yang beliau pernah ada sebelum ini dan kita akan menyasarkan keputusan yang terbaik. Pada masa ini fokus untuk KIP ialah pulih sepenuhnya dan kami akan sokong beliau sepenuhnya.

“Untuk baki perlumbaan musim Moto2 2019, Adam Norrodin akan terus berlumba sebagai sebahagian daripada program pembangunannya,” katanya.

Pengarah pasukan Johan Stigefelt berkata fasukan kini melihat kepada musim hadapan kerana pasukan kini mempunyai barisan pelumba yang kuat.

“Tentunya ia satu tahun yang sukar untuk KIP dan kami pada mulanya terlalu berharap yang beliau dapat kembali beraksi pada musim ini. Dengan hanya tinggal lima perlumbaan pada musim ini dan satu lagi pembedahan semalam, tidak masuk akal untuk meletakkan harapan beliau akan kembali ke Moto2 tahun ini.

“Untuk 2020, kami akan mempunyai barisan pelumba Moto3 yang kuat dengan KIP bersama John McPhee dan kami melihat kepada peluang prestasi yang akan ada tahun hadapan,” katanya.

Musim Moto3 2020 akan bermula pada Mac tahun hadapan, dengan perlumbaan pembukaan di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac.– BERNAMA