Malaysia Dateline

SUPP kecewa dua kerusi tradisi ditandingi komponen GPS

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kecewa apabila dua kerusi tradisinya bakal ditandingi parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengakui terkejut dan sedikit kecewa dengan keputusan yang dibuat dalam tempoh 24 jam.

“Memang mengejutkan apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam semalam kerana sebelum itu memang kami menjangka akan untuk terus bertanding di 20 kerusi tradisi.

“Namun itu keputusan pucuk pimpinan GPS dan kami menerimanya dan bersedia untuk bergerak bersama demi memastikan kemenangan pada PRN-12,” katanya dipetik Harian Metro.

Bagaimanapun, beliau menerimanya dengan hati terbuka bersandarkan semangat setiakawan GPS.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat SUPP Batu Kawa, di Bandar Baru Batu Kawa (MJC), hari ini.

Beliau berkata, tumpuan kini harus difokuskan kepada 18 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP dan mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan di semua kerusi terbabit.

Dua kerusi tradisi SUPP terbabit ialah Dudong yang bakal ditandingi Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Mambong yang akan ditandingi Datuk Dr Jerip Susil.