Malaysia Dateline

Surat akuan PN tidak bernilai jika sokong bersyarat, kedudukan Ismail boleh dipertikai

Umno tidak boleh selesa dengan mendakwa Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, ini kerana sokongan yang diberikan oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan gabungan Perikatan Nasional (PN) merupakan sokongan bersyarat.

Jika begitu katanya, surat akuan tersebut tidak lagi mempunyai nilai dan pada bila-bila masa boleh dipertikaikan.

“Ada impak seolah-olah kenyataan tersebut menyanggah surat akuan yang dibuat Ahli Parlimen PN.

“Surat akuan yang dibuat ini tidak lagi mempunyai nilai dan ini menunjukkan sokongan kepada Ismail Sabri tidak konklusif dan boleh dipertikaikan.

“Oleh itu, Umno tidak boleh mendakwa Ismail Sabri mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik PM menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana sokongan bersyarat ini,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah pun mengeluarkan surat titah dari Yang di-Pertuan Agong bahawa setiap Ahli Parlimen perlu menyatakan sokongan mereka kepada seorang Ahli Dewan Rakyat dengan pernyataan kepercayaan yang terang, jelas, dan tanpa syarat.

Bagaimanapun pada semalam, Mahiaddin menyatakan sokongan 50 Ahli Parlimen PN terhadap Ismail Sabri adalah bersyarat.

50 MP PN terdiri daripada 31 Ahli Parlimen Bersatu, Pas (18), Star (1) dan empat MP bebas yang pro PN, adalah bersyarat