Malaysia Dateline

Surat CIA: Polis ambil keterangan bekas Ketua Pengarah MEIO

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Polis telah mengambil keterangan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid (gambar atas)  berhubung surat yang ditulisnya kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Tanpa mendedahkan bila keterangan Hasanah diambil, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya juga sudah memanggil beberapa lagi pegawai MEIO bagi membantu siasatan berkenaan.

Katanya polis juga akan mengambil keterangan beberapa pegawai MEIO di Washington.

“Kemudian kita akan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman hari ini.

Surat Hasanah bertarikh 4 Mei itu ditujukan kepada Pengarah CIA Gina Haspel meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pada 31 Julai lepas, Hasanah meminta polis menyiasat dalang yang membocorkan isi kandungan surat itu.

Hasanah yang membuat laporan polis berkata kandungan surat itu bukanlah perkara yang aneh berbentuk derhaka kerana mandat MEIO adalah menjaga keselamatan negara.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan anugerah pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 51 pegawai atas jasa dan pengorbanan kepada negara.