Surat kepada CIA: Hasanah buat laporan polis, kata peguam

Surat kepada CIA:  Hasanah buat laporan polis, kata peguam

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid akan membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau mengirim sepucuk surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguam beliau, Datuk Shaharudin Ali hari ini, Hasanah berkata beliau dinasihati oleh peguamnya untuk membuat laporan polis.

Hasanah berkata beliau juga akan mengadakan sidang akhbar untuk memperjelaskan keadaan sebenar.

Dalam surat yang didakwa itu bertarikh 4 Mei tahun ini dan dialamatkan kepada Pengarah CIA Gina Haspel, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan sebagai rakan kepada Amerika Syarikat.

Dalam surat itu juga, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula disifatkan sebagai ‘anti-Barat dan anti-Yahudi’.

Surat berkenaan, didakwa ditulis kira-kira seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, mengucapkan tahniah atas pelantikan Haspel untuk menerajui CIA dan merayu Amerika supaya menyokong pentadbiran Najib ‘sungguhpun jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya itu dengan majoriti mudah atau hanya dengan kelebihan satu kerusi.’