Surat MOF batal ECRL tersebar

Surat MOF batal ECRL tersebar

Sepucuk surat penamatan kontrak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mula tersebar di media-media sosial hari ini.

Surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.. Datuk Seri Darwis Abdul Razak itu turut dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib  Razak.

Surat yang ditandatangani Guan Eng itu memaklumkan keputusan kerajaan untuk membatalkan projek berkenaan serta merta dan meminta pihak Malaysia Rail Link untuk menyampaikan berita tersebut kepada kontraktor utama projek China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) dan China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. serta pembiaya projek iaitu EXIM Bank China dan institusi-institusi pembiayaan yang lain.

Tiada sebab dinyatakan mengapa projek tersebut dibatalkan.

Setakat ini masih tiada maklum balas mahu pun pengesahan daripada Kementerian Kewangan sama ada surat tersebut adalah tulen.

Sekiranya, surat tersebut adalah tulen, ini bermakna Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tidak membuat kenyataan palsu dengan mengatakan projek ECRL telah pun dibatalkan sekaligus mengesahkan khabar angin yang telah mula bertiup sejak seminggu lalu.

Guan Eng bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan media mengenai isu tersebut sejak khabar angin tersebut mula tersebar dan hanya memberi maklum balas “terkejut” selepas Azmin mengesahkan pembatalan projek berkenaan Sabtu lepas, seperti dipetik laporan MG hari ini.