Malaysia Dateline

Surat 80 MP Asean: Malu apa Abahku, motto baru kerajaan PN

Sangat memalukan apabila Malaysia, di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu-Islam PN, “dipariakan” oleh Ahli-ahli Parlimen negara jiran yang dulunya diktator dan oleh negara-negara kecil macam Singapura dan Timor-Leste.

Datuk A Kadir Jasin Demikian kata tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin (gambar) berikutan surat 80 Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari negara-negara demokrasi Asean telah menghantar surat menggesa agar Parlimen Malaysia dibenarkan bersidang semula.

Namun, beliau yakin, tidak ada apa yang hendak dimalukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang kerana mereka mempunyai motto tersendiri.

“Tapi nampaknya di Malaysia sekarang mottonya adalah malu apa abahku,” kata Kadir dalam tulisannya menerusi Facebook beliau.

Dilaporkan lebih 80 Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari negara-negara demokrasi Asean telah menghantar surat menggesa agar Parlimen Malaysia dibenarkan bersidang semula.

Surat itu ditujukan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Sumber-sumber berita menyebut enam negara demokrasi Asean yang terlibat adalah Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.

“Dalam jangkaan saya, Vietnam dan Laos mustahil terbabit kerana mereka bukan negara demokrasi. Mereka adalah negara Komunis satu parti.

“Burma (Myanmar) pun pasti tidak kerana ia pun sama macam Kerajaan PN yang merampas kuasa, menggantung Parlimen malah menahan ahli politik.

“Brunei pun bukan negara demokrasi. Ia adalah negara raja berkuasa mutlak (absolute monarchy),” kata Kadir dalam tulisan itu.