Malaysia Dateline

Surat peguam dah keluar, saman RM10 juta MP PKR lompat

PKR melalui peguamnya hari ini telah mengeluarkan surat tuntutan saman kepada 20 wakil rakyat mereka yang bertindak melompat dan keluar dari parti pada Mac lalu.

Bendaharinya, Lee Chean Chung berkata, parti menuntut sebanyak RM10 juta setiap seorang dalam masa tujuh hari sebagai pampasan kerana berpaling tadah.

“PKR telah memberikan arahan kepada peguam untuk mengemukakan surat tuntutan kepada 20 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Parti menuntut sejumlah RM10 juta setiap seorang. Ini adalah pampasan yang dipersetujui untuk dibayar kerana berpaling dari parti.

“Mereka telah memperuntukkan kerusi itu untuk kepentingan peribadi yang bertentangan dengan kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, bahawa saman terbabit adalah berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada PRU-14.

Dalam pada itu, Lee berkata, Sekiranya mereka gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan, parti akan mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses yang sesuai terhadap mereka untuk mendapatkan kembali pampasan yang dituntut.

Seramai 20 wakil rakyat disaman terdiri daripada 10 ahli Parlimen dan 10 Adun.

Ahli Parlimen itu adalah Datuk Seri Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak).

Lain, Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seti Dr Santhara Kumar (Segamat) , Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau), dan Baru Bian (Selangau)

10 Adun yang terlibat pula ialah Hilman Idham (Gombak Setia), Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau), Azman Nasrudin (Lunas).

Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah binti Alwi (Sementa), dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh), dan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya).