
Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Chan Wei Khjan hari ini tampil memohon maaf susulan isu surat rasmi yang ditulis dalam bahasa Mandarin dan inggeris.
Dalam sidang media hari ini beliau, menjelaskan pendiriannya berhubung dengan tindakan itu yang mendapat perhatian umum.
Chan dalam pada masa yang sama turut menjunjung titah Tuanku Sultan Johor yang telah memberi reaksi terhadap isu terbabit semalam.
“Saya menjunjung titah Tuanku Sultan Johor dan berjanji akan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh kepada rakyat serta akan menambah baik peranan selaku ahli majlis.
“Saya juga ingin memohon maaf terhadap pihak umum yang tersinggung dengan perkara yang telah berlaku dan tidak ada niat saya untuk membelakangkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
“Walau bagaimanapun saya amat kesal kerana ada pihak seperti parti politik pembangkang yang telah menyalah ertikan perkara tersebut sehingga menimbulkan salah faham di antara kaum,”ujarnya.
Selain itu, Ahli Dewan Negeri (Adun) Perling, Cheo Yee How menyatakan kekecewaan beliau berkenaan dengan isu ini kerana bagi beliau isu utama dalam perkara ini adalah soal permasalahan penduduk.
“Isu sebenarnya adalah berkenaan dengan permasalahan penduduk dan saya lihat perkara ini tertangguh hanya kerana segelintir pihak seperti Umno dan Pas yang memanupulasikan isu ini.
“Umno dan Pas perlu belajar untuk mengenali keadaan serta saya terbuka tangan untuk mereka membantu saya dalam menyelesaikan masalah berbangkit di kalangan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut memberi maklum balasnya berkenaan dengan demonstrasi yang dibuat oleh pihak Umno dan NGO di hadapan bangunan MBIP pagi tadi.
“Negara ini adalah negara demokrasi dan ia tidak menjadi masalah sekiranya mereka mahu membuat demonstrasi sedemikian cuma mereka tidak seharusnya mengganggu sekolah berdekatan yang sedang menjalankan peperiksaan UPSR.
“Selain itu dalam kenyataan media Pas, mereka juga telah meletakkan nama saya sebagai individu yang bertanggungjawab. Sejak dari semalam lagi saya telah nyatakan perkara yang berlaku dan Pas harus matang.
“Saya juga menasihatkan agar Pas berhenti dari menggunakan istilah-istilah arab sebagai menghormati Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan,” ujarnya.