Malaysia Dateline

Surat sokongan: Ismail Sabri patut tegur Ikmal Hisham

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menegur Timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berhubung isu surat sokongan.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan Ismail yang menulis nota sokongan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan bersetuju terhadap cadangan Ikmal sebagai tidak bermoral.

“Sewajarnya sebagai menteri kanan dalam fasa pandemik (Covid-19) ini menunjukkan teladan yang baik sekurang-kurangnya menegur timbalan menteri tersebut.

“Bahkan, beliau (Ismail) bertindak meminitkan terus surat tersebut kemudian memberikan pelbagai alasan.

“Ini adalah tindakan tidak bermoral dan keterlaluan di pihak kerajaan sendiri,” tegasnya kepada media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River hari ini.

Terdahulu, Pemuda AMANAH Nasional dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Ikmal berhubung isu surat sokongan tersebut yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Shazni berharap pihak berkuasa benar-benar melakukan siasatan secara menyeluruh agar kes-kes berkaitan amalan surat sokongan daripada kalangan pemimpin kerajaan PN tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera sebelum ini dalam reaksinya kepada media mengesahkan kesahihan surat sokongan itu termasuk tulisan tangannya yang menyatakan ‘saya setuju’.

Menurutnya, sokongan kepada Hazlan iaitu anak Ikmal Hisham itu memandangkan pengalamannya sebagai peniaga dan anggota exco Pemuda Umno.

Walau bagaimanapun, Ismail mengakui kebimbangan wujudnya isu nepotisme memandangkan Hazlan merupakan anak timbalannya.

Oleh sebab itu, Naib Presiden Umno berkenaan beralasan hanya menyatakan sokongan bukan melantik Hazlan untuk jawatan tersebut.