Malaysia Dateline

Khairuddin Aman Razali

Surat Terbuka buat Pak Menteri…

Saya terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini buat Pak Menteri yang dikasihi iaitu YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Tular di seluruh negara ketika ini menyatakan bahawa anda mengabaikan kuarantin 14 hari di rumah dan mengunjungi Parlimen pada waktu kuarantin.

Saya selaku rakyat biasa yang mungkin dianggap kasta terendah amat kecewa dengan tindakan sedemikian. Mungkin undang-undang negara kita ini hanya terpakai buat rakyat biasa sahaja pada pandangan orang kenamaan di negara kita ini.

Ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dulu juga pernah tular foto Menteri Perikatan Nasional dan orang kenamaan yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Dikala rakyat yang dibawah ini kehilangan pekerjaan dan juga mungkin dikenakan denda yang tinggi kerana keterlanjuran mereka, pihak yang diatas bersenang-lenang membayar denda yang mungkin dianggap sedikit dan ada yang mempersendakan rakyat dibawah ini.

Cukuplah. Keadilan mesti tertegak tidak kira siapapun anda. Pak Menteri ini harus sedar akan kesilapan beliau dan tidak menunding jari terhadap pihak lain yang telah membocorkan rahsia umum ini.

Saya juga sempat menemani seorang rakan aktivis pergi membuat laporan polis terhadap Pak Menteri ini kerana beliau amat kecewa dengan tindakan yang telah dilakukan. Beliau terpaksa berkuarantin 14 hari di rumah dikala bapanya meninggal dunia di Kedah.

Saya juga ingin berpesan buat Pak Menteri ini, tidak kiralah keputusan swab test anda negatif anda wajib berkuarantin di rumah. Kita perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Kluster Sivagangga yang umum telah ketahui.

Akhir sekali saya ingin mengingatkan, rakyat sedang memerhati.