Malaysia Dateline

Surat terbuka Dr Dzulkefly: Ulama Pas anggap AMANAH sempat berwasiat

Tampil memberi reaksi sinis, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, dia tidak terkejut dengan surat terbuka Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, bahkan menganggap “Surat Terbuka (01) Buat Bekas Rakan-rakan dalam Pas” kelmarin sebagai wasiat AMANAH yang digelarnya PAN.

“Saya terbaca surat terbuka Dr Zul kepada semua ahli Pas. Saya tak terkejut.

“Walaupun nasihat itu tak betul tapi sekurang-kurangnya PAN sempat berwasiat saat-saat nazaknya,” ujarnya dipetik dari Facebook bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu.

Kelmarin, Dr Dzulkefly dalam surat sebanyak 31 perenggan itu menyeru ahli dan ulama Pas di peringkat akar umbi agar menasihatkan pimpinan tertinggi parti khususnya Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Syura Ulama.

Bekas Menteri Kesihatan era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ahli dan ulama Pas perlu berbuat demikian agar tidak terjerumus dalam implikasi hadis Rasulullah yang masyhur berkenaan asabiyyah iaitu ‘kamu membantu kaummu dalam berbuat kezaliman’.

“Mereka boleh tidak menegur pimpinan di peringkat awal, berdasarkan kaedah qawaid fiqqiyah ‘tidak bersalah kecuali disabit kesalahan’, atas apa jua sebab atau kepentingan.

“Namun, setelah dijatuhkan hukuman ke atas Najib Razak, maka tidak layak lagi sesiapa pun untuk berbaik sangka dan meneruskan sikap lama, seperti yang ditunjukkan pimpinan tertinggi Pas,” nasihat Dr Dzulkefly lagi.