Malaysia Dateline

Surat terbuka kepada Anwar Ibrahim dan pemimpin blok pembangkang

Biarkanlah Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik ini uruskan siapa dia hendak pilih jadi Timbalan Perdana Menteri, siapa-siapa akan jadi menteri dalam Kabinet.

Di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas disebut: “atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.”

Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tidak tentu hala Perdana Menteri yang baharu sahaja dilantik ini.

Rakyat tidak suka, semua orang tidak suka. Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan tenteram.

Jika Perdana Menteri, Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang oleh saingan politiknya dari Parti Bersatu atau lain-lain parti dalam payung besar PN atau BN, ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara disebut, “Biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”

Jadi, apa yang PH perlu lakukan sekarang selepas terlepas peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah sahaja. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang dalam tempoh tidak sampai dua tahun lagi.

Menjadi komander 

Jangan campak Anwar Ibrahim ke bawah bas selepas dia gagal dalam persaingan menjadi Perdana Menteri kesembilan. PH amat memerlukannya sekarang untuk menjadi komander dalam menghadapi PRU-15.

Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama dwipartisan.

Kalau PH yang memimpin kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama dwipartisan itu masuk akal dan berfaedah. Tetapi kalau PH sekarang ibarat seperti melukut di tepi gantang, yang tidak dijemput, tidak diundang, jangan sampai hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong.

PH bukan satu jenama yang koyak dan kalah. Harapan adalah jenama politik untuk masa depan. PH hanya kurang enam undi sokongan sahaja untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan Persekutuan. Itu tidak susah diperolehi di dalam PRU-15.

Penting ditegaskan di sini. Saya bukan ‘macai’ Anwar Ibrahim. Saya pengkritik lantang kepada Anwar dalam parti dan di luar parti, secara terbuka ataupun secara one to one secara peribadi.

Kalau tidak percaya, boleh tanya Anwar sendiri. Banyak insiden saya menentangnya. Anwar suruh Ahli Parlimen pembangkang duduk, tetapi saya berdiri di dalam Parlimen. Saya langgar disiplin. Saya langgar arahan Anwar. Saya ikut hati nurani saya sebagai seorang Ahli Parlimen.

Tidak berkompromi

Namun, dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada kawan-kawan dalam PH yang suruh Anwar letak jawatan. Saya dengar ada cadangan minta PH pilih pemimpin lain.

Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tidak diperlukan lagi. Ini semua nonsense. Cakap-cakap seperti itu datang dari deep state, dari musuh PH yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar Ibrahim terutamanya.

Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tuntutan Kluster Mahkamah dari Umno. Anwar tidak berkompromi. “Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati.

Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Itu pendirian tegas Anwar. Apa yang Anwar buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa Anwar lulus dalam ujian. Dia tidak gila kuasa. Dia tidak mabuk jawatan.

Anwar tetap mempertahankan idealisme reformasinya yang diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa Perdana Menteri yang tempoh memanas kerusi tidak sampai dua tahun sahaja dari saat ini.

Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang bukannya kepentingan peribadinya untuk jangka pendek.

Lulus ujian

Begitu juga, Anwar Ibrahim sudah ada di Pejabat Perdana Menteri hari ini, kalau dia menagih sedekah sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tunduk terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini.

Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi PH dan Presiden Keadilan ini ada maruah, ada integriti. Dia tetap tenang dan tawakal. Anwar telah lulus ujian.

Pemimpin-pemimpin pelapis, daripada kalangan muda, dari pemuda dan wanita, tampillah ke depan. Pemimpin-pemimpin senior PH bangun dan bergerak ke saf hadapan. Tetapi usah Anwar cuba dipinggirkan.

Sekali lagi saya mohon, jangan campak Anwar ke bawah bas. Bayangkan senario pernah terjadi. Selepas PRU-13, Anwar dihumban oleh rejim Umno/BN Najib ke penjara. Pakatan Rakyat pecah dan hancur.

Lontarkanlah segala kata nista yang buruk-buruk serta fitnah seranah kepada Anwar, jika itu golongan yang membenci Anwar mahu lakukan. Tetapi jangan lupa, orang yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bangun dan muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti pembangkang sehingga PH berjaya menumbangkan Umno/BN dan Najib dalam Pilihan Raya Umum, Mei 2018 lalu.

Jadi, kepada Anwar Ibrahim, saya berharap supaya tenang dan fokus. Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi PRU-15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan di tanahair kita ini akan kita bangunkan sebuah negara moden yang progresif, yang adil dan demokratik; sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat semua kaum dan agama dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua.