Surat terbuka kepada kekanda Hanif Khatri dan NGO pertahan hak perokok

Surat terbuka kepada kekanda Hanif Khatri dan NGO pertahan hak perokok

Ke hadapan Tuan Hanif Khatri dan NGO Pertahankan Hak Perokok,

Semoga sihat sentiasa dan dalam keadaan baik hendaknya.

Pertamanya, saya menulis surat ini adalah sebagai respons kepada beberapa kenyataan dari tulisan, temu bual dan juga petikan berita dari tuan dan juga NGO Pertahankan Hak Perokok berkaitan isu larangan merokok di premis makanan. Saya ambil maklum bahawa tuan dan juga NGO Pertahankan Hak Perokok bukanlah entiti yang sama namun oleh kerana banyak pandangan yang dikongsikan oleh pihak tuan dan NGO tersebut hampir sama, maka saya utuskan surat ini kepada tuan dan NGO sekali gus.

Tidak ada siapa-siapa yang boleh menyangkal kredibiliti dan karisma tuan dalam aspek guaman dan saya hormati usaha tuan dalam membela isu rakyat melalui guaman. Teruskan dan jangan pernah berhenti.

Namun, pada kali ini, izinkan saya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendirian terbaru tuan dan juga NGO Pertahankan Hak Perokok.

Tuan,

1) Merokok bukan jenayah tetapi..

Saya tertarik dengan hujah tuan bahawa tiada undang-undang di Malaysia yang menyatakan merokok adalah jenayah. Benar, buat masa ini merokok bukanlah jenayah, tetapi itu tidak bermaksud perokok boleh merokok di mana-mana yang mereka suka. Sama jugalah jika tidak keterlaluan saya memberi contoh, dengan izin, membuang air kecil/besar, tidak pernah dikira jenayah, tapi bukan bermaksud boleh membuang air kecil/besar merata-rata. Sama juga contoh secara umum, memakai seluar pendek itu bukan jenayah, tapi ada kawasan larangan untuk memakainya, seperti di mahkamah sebagai contoh.

Itu perkara yang tidak pun memudaratkan orang lain, kita boleh buat undang-undang. Apatah lagi yang bakal memberikan kerosakan kepada kesihatan, apa salahnya Menteri menggunakan kuasanya untuk wartakan undang-undang tersebut?

2) Hak Perokok Perlu Diimbangi?

Saya ingin pulangkan kembali satu soalan, sejak bilakah hak perokok dicabuli? Anda perokok, anda mahu masuk premis makanan, silakan, tidak ada sesiapa yang boleh cabut hak kebebasan bergerak anda. Tapi syaratnya jangan merokok.

Jika tuan mengatakan hak perokok didiskriminasi hanya kerana tak boleh merokok di premis makanan, bagaimana pula di stesen minyak sebagai contoh? Larangan merokok di stesen minyak sudah lama berkuatkuasa, adakah perokok tak boleh mengisi minyak? Adakah itu bermakna perokok didiskriminasi hanya kerana tidak boleh merokok di stesen minyak?

Adakah undang-undang yang menyekat seseorang daripada merokok untuk mengelakkan mudarat dan bahaya yang lebih besar kepada orang ramai dikira diskriminasi?

3) Kawasan khas merokok?

Tuan juga mencadangkan agar kawasan merokok khas disediakan buat perokok di premis makanan. Jika perlu, dibuat saluran pengudaraan khas di dalam kawasan tersebut.

Saranan ini mempunyai beberapa masalah :

Pertama, tuan premis perlu menambah kos pula untuk membina ruang dan memasang dinding/gelas khas serta saluran pengudaraan. Siapa yang perlu tanggung? Tidakkah nanti akan menambah kos kepada harga makanan? Adakah perokok sanggup menanggung caj tambahan ini?

Kedua, bagaimana pula jika ada gerai-gerai atau premis kecil yang tak mampu sediakan atas sebab kewangan dan juga ruang yang terhad? Jika perokok datang ke premis tersebut dan tetap mahu merokok, tidakkah mereka tetap perlu keluar dan jauh dari premis untuk mencucuh rokok? Sama sahaja sebenarnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga dalam Guidelines on Protection From Exposure to Tobacco Smoke, perkara 6, [1] menekankan saluran pengudaraan, tapisan udara dan pengkhususan tempat merokok telah berulang kali menunjukkan kurang keberkesanannya dan tidak melindungi daripada asap rokok.

Beberapa kajian, sebagai contoh salah satunya di Sydney [2], menunjukkan pengurangan 50% paras nikotin dalam udara di zon tidak merokok berbanding zon merokok, namun paras tersebut masih tinggi berbanding udara di luar dan kaedah ini tidak mencapai perlindungan sepenuhnya kepada pelanggan yang tidak merokok.

Malah, The Surgeon General of United States, pihak berkuasa kesihatan awam Amerika Syarikat menyarankan agar masyarakat memilih restoran yang bebas rokok kerana itulah satu-satunya cara berkesan untuk mendapat perlindungan penuh dari asap rokok [3].

Jika ada bilik khas merokok sekali pun, bahan beracun dari asap rokok akan kekal lama di dinding dan peralatan restoran dan ini akan menyebabkan pekerja restoran pula terdedah dengan bahaya racun asap rokok itu tadi. Kesan ini kita panggil sebagai third-hand smoker.

Sebenarnya tidak ada isu tentang tidak ada kawasan merokok. Kementerian telah menetapkan tiga meter dari kawasan premis. Jadi jika withdrawal syndrome terlampau kuat, pergilah 3 meter dari kawasan premis, hembuslah sebanyak-banyak asap yang dimahukan. Hak anda merokok dipenuhi, hak pelanggan tidak merokok dihormati.

4) Perokok juga membayar cukai dan menyumbang kepada pendapatan negara.

Hasil produk tembakau menyumbang kira-kira RM9 bilion kepada negara pada tahun 2016 [4], manakala impak kos kesihatan secara langsung kepada penyakit berkaitan rokok pula dijangka akan menelan belanja kira-kira RM7.4 bilion pada tahun 2025 [5]. Topik tentang mana yang lebih banyak antara hasil tembakau atau impak kos kesihatan kepada perokok ini turut menjadi perdebatan di luar negara.

Apa pun, ada dua sisi pandang yang perlu dilihat. Pertama, kos kesihatan ini tidak melibatkan kos tak langsung dari tabiat merokok seperti kos rawatan kepada perokok pasif, keluarga perokok, anak perokok ataupun kesan kesihatan kepada janin dalam kandungan. Ianya juga tidak mengambil kira kos yang ditanggung akibat dari kehilangan pekerjaan, produktiviti negara dan kematian suami sebagai pemberi nafkah keluarga.

Sisi pandang kedua, jikapun dari sudut ekonomi tampak hasil tembakau lebih memberi pulangan berbanding kos rawatan penyakit berkaitan rokok, namun kehilangan nyawa bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ianya tidak menguntungkan sesiapa pun.

Buat akhirnya, saya mengajak kepada perokok-perokok di luar sana, kami bukan membenci anda sebagai individu, malah kerana sayanglah kami menasihati dan menyusahkan lagi anda daripada meneruskan tabiat merokok itu yang hanya membahayakan nyawa anda.

Lihatlah pada muka anak kecil anda, isteri/suami anda, cucu anda, adakah muka yang tak berdosa itu patut menanggung penderitaan kanser, penyakit paru-paru, jantung, jangkitan telinga, asma dan lain-lain lagi hanya kerana anda mahu menegakkan hak anda?

Datanglah ke klinik-klinik kesihatan berdekatan tempat tinggal untuk mendapatkan rawatan berhenti merokok.

Kami sedia membantu.

* Dr. Ahmad Hidayat Hasni Mad Isa merupakan seorang Pegawai Perubatan dan AJK Health Empowerment and Reform Team.