Malaysia Dateline

Surat terbuka kepada Mas Ermieyati

Yang Berhormat DATUK WIRA HAJAH MAS ERMIEYATI BINTI SAMSUDIN, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

BDS Malaysia sangat kecewa apabila mengetahui bahawa YB Datuk baru-baru ini telah merasmikan pelancaran program di mana seorang penceramah dari Israel turut serta, walaupun dalam talian.

Sokongan kementerian anda terhadap acara tempatan dimana terdapat penyertaan wakil dari Israel tidak seharusnya berlaku.

Kerajaan Malaysia, dari dahulu dan sekarang, termasuk yang sekarang dianggotai oleh YB Datuk, senantiasa mematuhi dasar rasmi untuk tidak memberikan pengiktirafan kepada negara Zionis Israel serta tidak melakukan sebarang hubungan dengan entiti Israel. BDS Malaysia sangat memuji dasar tersebut. Walau bagaimanapun, perasmian acara tersebut oleh YB Datuk bertentangan dengan dasar rasmi kerajaan YB sendiri.

Hak asasi 5 juta rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sehingga kini dicabul oleh Israel. Pencabulan tersebut telah direkodkan oleh pertubuhan Human Rights Watch dan Amnesty International.

Hampir dua juta penduduk Palestin di negara Palestin yang asal (dikenali sebagai Israel) dizalimi oleh sistem undang-undang apartheid. Ini disahkan lagi oleh kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

Pencabulan di kawasan Palestin yang dijajah telah dikutuk oleh berbagai resolusi PBB sementara penubuhan jajahan Israel di sana adalah haram di bawah Konvensyen Geneva ke-4 dan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 Disember 2016. Dan apartheid dikategorikan sebagai Jenayah Terhadap Kemanusiaan oleh Statut Rome 2002 Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Negara apartheid Israel tidak dapat dihukum atas semua pencabulan di atas semata-mata kerana perlindungan yang diberikan oleh Amerika Syarikat serta akibat tipu daya propaganda Zionis. Hanya tekanan yang bermakna dari masyarakat antarabangsa yang akan memaksa Israel menghormati hak asasi manusia Palestin. Keengganan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf Israel adalah sebahagian dari tekanan ini. Tekanan tersebut mesti merangkumi usaha boikot, pelupusan pelaburan, dan sekatan terhadap Israel.

Pendek kata, adalah penting untuk tidak mengiktiraf Israel serta tidak mengadakan sebarang hubungan dengannya. Tekanan ini telah terbukti berjaya menghapuskan kerajaan apartheid di Afrika Selatan satu masa dahulu, dan ia juga akan berjaya untuk menentang kerajaan apartheid Israel.

Oleh itu, kami menggesa YB, kementerian YB dan seluruh kerajaan Malaysia serta semua badan sektor awam dan swasta untuk terus memboikot Israel serta memastikan tidak ada penyertaan organisasi dari Israel dalam sebarang program di negara kita. Hanya tindakan seperti itu yang dapat membawa keamanan dan keadilan di bumi Palestin.

BDS Malaysia.
17 Februari 2021