Malaysia Dateline

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Surat terbuka kepada Mufti Perlis

WARKAH TERBUKA PERMINTAAN FATWA DARI TUAN MUFTI SAHIBUS SAMAHAH DATO’ ARIF PERKASA PROF. MADYA DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN

Tuan Mufti SS Dr. Maza, saya menulis warkah terbuka ini dengan saya penuh sedar tentang ketinggian ilmu Tuan Mufti dan prinsip Tuan Mufti dalam mempertahankan Islam dan keaslian sumbernya di tanahair ini.

Pengalaman awal saya mengenali Tuan Mufti sebagai seorang yang pakar dalam bidang Hadith dan keluasan pembacaan kitab-kitab Turath bermula ketika saya membaca buku Travelog Minda Tajdid ketika saya berada di Tahun Satu Sarjana Muda dalam bidang Shariah dan Ekonomi Islam di Jordan, negara tempat pengajian yang sama dengan Tuan Mufti.

Kekaguman saya pada Tuan Mufti dalam memberikan penjelasan terhadap isu-isu semasa yang berlaku di tanah air berpaksikan kefahaman yang mantap daripada nas al-Quran dan Hadis sehingga jelas agama ini relevan sepanjang zaman.

Saya masih ingat syarahan Tuan Mufti pada tahun 2013, ketika dijemput menjadi panel dalam persidangan PERTAMA dengan tema Siyasah Syar’iyah dan secara khusus Tuan Mufti mengulas tajuk Mentaati Pemerintah : Antara Literal dan Maqasid.

Tuan Mufti mengingatkan kami tentang ketaatan kepada pemimpin itu penting untuk kemaslahatan politik namun ada batasnya dan bantahan kepada pemimpin juga penting dengan menjaga batasnya. Saya yakin prinsip itu masih menjadi prinsip yang dipegang erat oleh Tuan Mufti.

Justeru, fatwa pertama yang ingin saya rujuk pada Tuan Mufti adalah berkaitan kerajaan hari ini. Benarkah seperti yang didakwa oleh Tuan Mufti, Islam tidak lagi selamat di bawah kerajaan hari ini.

Adakah sekadar suara-suara sesetengah golongan yang ingin menghalau seorang pendakwah terkenal menyebabkan Islam tidak lagi selamat. Bukankah keputusan mengekalkan beliau dalam negara adalah keputusan Kabinet? Saya hairan dengan dakwaan ini, mengapa ia dilontarkan.

Sedarkah Tuan Mufti, pandangan Tuan Mufti ini telah ditunggang sehabis baik sehingga ia ditempel dalam siri-siri fitnah yang didendangkan saban malam di kuliah-kuliah agama dan sebaran-sebaran mesej Whatsapp.

Masyarakat Muslim bergaduh sesama sendiri dengan mesej kononnya Islam telah terancam. Apakah indikator dan metodologi penilaian yang telah dibuat oleh Tuan Mufti?

Besar harapan saya agar Tuan Mufti bersama dalam ruang luas yang tersedia dalam membuat islah kepada kerajaan Baru yang sama-sama dikempen secara tidak lansung oleh Tuan Mufti dulu. Bukankah itu lebih baik daripada melontarkan sentiment yang membuat masyarakat cemas dan gelisah setiap hari.

Dalam bab menegur pemimpin juga, teringin benar saya bertanya apakah ulasan Tuan Mufti dalam kes tuduhan cabul remaja 15 tahun oleh seorang sahabat Tuan Mufti, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selepas tiga kali gagal hadir ke mahkamah untuk prosiding pengurusan kes, apabila dibicarakan akhirnya kes digugurkan setelah mangsa memutuskan tidak mahu meneruskan perbicaraan. Pelik, sangat pelik.

Hati saya geram membaca keputusan kes ketika itu dengan paparan wajah sahabat Tuan Mufti yang tenang menghadapi wartawan. Terngiang kisah yang sering Tuan Mufti sebut tentang jeritan seorang Muslimah: “Wahai khalifah Mu’tasim tolonglah aku” yang dibalas dengan seutus surat daripada Khalifah Mu’tasim kepada anjing-anjing Rom.

Fatwa kedua adalah berkenaan kempen Buy Muslim First. Izinkan saya bertanya dan harapnya saya tidak digelar Bodoh Tak Bertebing. Saya merasakan ada ralat yang cukup besar dalam kempen ini.

Waktu kemunculannya, pihak yang menganjurkannya, dan akhir sekali kaedah dan mesej saudara-saudara Muslim yang berkempen untuknya. Lebih ralat adalah sokongan tidak berbelah bahagi Tuan Mufti pada kempen seperti ini. Adakah Tuan Mufti kini melihat pada Teks kempen sahaja dan terlepas pandangan Konteksnya. Di mana suara rasional, suara perpaduan, dan suara kemajmukan yang menjadi suara Tuan Mufti selama ini. Ingatkah Tuan Mufti pada ulasan Tuan Mufti tentang Dobi Muslim sahaja dulu?

Saya kongsikan di sini untuk ingatan kita bersama:

“Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya. Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan,”

Fatwa terakhir ingin saya tanyakan adalah berkenaan warkah Tuan Mufti pada Tun Mahathir. Warkah penuh emosi yang disulam dengan kisah Rajak bin Haiwah, seorang penasihat kerajaan Umayyah yang soleh dan kisah Khalifah Pertama Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang mencadangkan agar Saidina ‘Umar bin al-Khattab sebagai pengganti beliau.

Tuan Mufti mengingatkan Tun Mahathir, jangan sampai kuasa itu jatuh ke tangan si rakus yang sanggup menggadaikan apa sahaja untuk kehendak dirinya berkuasa.

Siapakah si rakus itu? Adakah ianya merujuk pada DS Anwar Ibrahim yang namanya sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah konsensus PH yang dipersetujui bersama.

Adakah seruan Tuan Mufti ini meminta Tun Mahathir melanggar konsensus itu sedangkan umat Islam itu terikat dengan perjanjiannya.

Tahukah Tuan Mufti bahawa DS Anwar berulangkali menasihatkan anggota partinya yang sering mendesak Tun Mahathir melepaskan jawatan supaya patuh pada konsensus PH yang menetapkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Begitu juga DS Wan Azizah yang menolak pencalonan Perdana Menteri apabila PKR mendapat jumlah kerusi terbanyak kerana menghormati konsensus yang dibuat. Adakah itu termasuk dalam perbuatan rakus?

Mungkin DS Anwar perlu menghadap Tuan Mufti untuk membuktikan dirinya tidak rakus dan menjamin Islam tidak terancam kelak. Melihat sejarah, ketika DS Anwar menjadi Menteri Pendidikan, beliaulah yang menggubal dasar memberi biasiswa dan menghantar pelajar cemerlang untuk belajar agama dan bahasa Arab di Timur Tengah. Hasilnya rakyat Malaysia melihat tokoh agamawan yang hebat seperti Dr. Zahazan, Ustaz Erfino, Dr Maszlee, dan Tuan Mufti sendiri.

Harapan saya agar Tuan Mufti terus konsisten menjadi jurubicara umat Islam, menjadi penyatu kepada rakyat, dan membimbing kami dengan kebenaran dan hujah, bukan emosi yang disembunyi oleh nas dan kopiah.

Al-Mustafti, Arham Merican,Shah Alam, Selangor.

(Pandangan penulis tidak mewakii pendirian Malaysiadateline)