Surat terbuka kepada pemimpin dan rakyat Malaysia

Surat terbuka kepada pemimpin dan rakyat Malaysia

Kami mulakan dengan lafaz Alhamdulillah di atas segala kurniaan dan nikmatnya yang tak terhitung banyaknya. Atas dasar pesanan dengan kebenaran dan pesanan dengan kesabaran (التواصي بالحق والتواصي بالصبر), kami terpanggil untuk mencoretkan warkah ini. Firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-‘Asr: 3)

Daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ. قلنا: لمن؟ قال: لله, ولكتابه, ولرسوله, لأئمة المسلمين وعامتهم
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Kerana siapa? Sabda Baginda: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944), al-Nasaie (4198), dan al-Tirmizi (1926)

Agama itu adalah nasihat. Ini bererti bahawa agama itu terletak pada nasihat. Ini kerana pada nasihat mengandungi taat kepada Allah dan kepada Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya.

Nasihat bagi para pemimpin kaum muslimin adalah menasihati mereka, iaitu: menjelaskan kebenaran kepada mereka, tidak meresahkan dan menakutkan mereka, membantu dan menolong pemerintah dalam perkara-perkara yang hukumnya wajib untuk dibantu, bersedia menjadi para pejuang untuk mempertahankan tanah air musuh luar, menegur pemerintah dengan cara lembut dan berhikmah. Pemerintah yang baik ialah pemerintah yang bertaqwa, menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermula suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan apabila berlaku hubungan tidak baik antara rakyat dan pemerintah.

Nasihat bagi kaum muslimin pada umumnya, ialah menyampaikan nasihat kepada mereka dengan berdakwah menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar, mengajarkan kebaikan kepada mereka, dan lain-lainnya. Al-Nasihah untuk kaum muslimin ialah dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan akhirat dan dunia. Apa yang menyedihkan umat Islam tidak mengambil berat di dalam melaksanakan hak nasihat ini terhadap kaum muslimin yang lain secara khususnya di dalam masalah dan perkara yang menuju kepada akhirat. Mereka hanya membataskan segala perhatian kepada kepentingan dunia sahaja. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 75-80)

Berhubung nasihat dan pandangan yang disuarakan kepada pemimpin, kami terkesan dengan karya Imam al-Ghazali yang berjudul al-Tibr al-Masbuq fi Nasa’ih al-Muluk. Dalam mukadimah kitab ini, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa seorang alim menyampaikan nasihat pada pemimpin dalam bentuk kisah, hikmah, dan seruan untuk bersikap adil.

Asasnya bagi tujuan penulisan surat ini adalah disebabkan situasi Malaysia kebelakangan ini yang dirundung dengan beberapa masalah yang tidak sedikit merisaukan kita semua selaku rakyat Malaysia. Meneliti helaian akhbar dan media sosial beberapa hari ini, membuatkan kami terdetik untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati kecil dan ufuk minda kami, untuk renungan bersama. Semoga dengan secebis nasihat daripada diri yang kerdil ini, membuahkan manfaat bersama.

Kami noktahkan atas dua isu utama iaitu:

1. Perhimpunan aman
2. Keperluan menghayati Fiqh al-Ta’ayush (fiqh kemajmukan)

Pertama: Perhimpunan Aman

Hukama’ berkata: “Dua nikmat yang manusia sering tidak menghargainya adalah nikmat kesihatan dan nikmat keamanan.” Setelah pihak penganjur Himpunan Aman ICERD memperoleh kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa hari lalu, kami melihat bahawa keizinan berkenaan adalah satu bentuk keyakinan kepercayaan pihak DBKL kepada penganjur himpunan berkenaan.

Maka, pada hemat kami, pihak penganjur sewajarnya menjaga kepercayaan yang diletakkan itu dengan mengikuti beberapa garis panduan yang berikut:

– Tidak ada cara lain melainkan dengan diadakan perhimpunan secara aman dan damai
– Tidak menggugat ketenteraman awam dan merosakkan harta benda serta menjaga adab dan akhlak yang baik
– Tidak menimbulkan rasa kebencian, permusuhan terhadap pemerintah serta tidak menimbulkan sebarang provokasi dan fitnah sama ada melalui ucapan, tingkah laku dan juga tulisan
– Mengikut undang-undang yang digariskan pihak yang berautoriti seperti pasukan keselamatan sebelum, semasa dan selepas mengadakan perhimpunan
– Memelihara adab dan tatasusila yang tinggi tanpa memfitnah serta melontarkan kata-kata kesat yang boleh melukakan maruah seseorang
– Tidak membawa senjata dan alat-alatan seperti senjata kerana ingin menakutkan orang ramai’

Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنّا
Maksudnya: Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.
Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (291)

Imam al-Nawawi berkata: Di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/109)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ ِلمُسْلِمٍ أَن يَرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang Islam menakutkan orang Islam yang lain.
Riwayat Abu Daud (5004)

Kedua: Keperluan Menghayati Fiqh al-Ta’ayush (Fiqh Kemajmukan)

Sejak 2014, kami konsisten menekankan keperluan kepada keperluan pendidikan berkenaan fiqh al-ta’ayush diterapkan dalam masyarakat Malaysia. Kerangka Fiqh al-Ta’ayush ini telah kami cerakinkan dalam Bayan Linnas Siri Ke-155: Konsep Fiqh al-Ta’ayush: Isu Di Malaysia Dan Penyelesaiannya yang dimuatnaik di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2826-bayan-linnas-siri-ke-155-konsep-fiqh-ta-ayush-isu-di-malaysia-dan-penyelesaiannya]

Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks kehidupan bersama dalam sesebuah negara di antara topik yang sangat penting pada zaman ini. Syariah telah menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush). Rasulullah SAW merupakan qudwah terbaik dan uswah hasanah yang wajib ke atas orang-orang Islam mengikutinya. Baginda telah menunjukkan beberapa kaedah dan prinsip al-ta’ayush bersama orang lain dalam banyak keadaan, zaman dan tempat. Malahan para sahabat juga meletakkan batu asas kepada tamadun Islam yang menyaksikan kehidupan orang-orang Islam di samping bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni.

Secara ringkasnya, garis panduan Fiqh al-Ta’ayush dalam konteks Malaysia yang kami cadangkan adalah hubungan umat Islam dan bukan Islam yang lebih terbuka dengan melihat beberapa sudut berikut:

-Tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam
-Pergaulan hendaklah dalam suatu yang ma’ruf bukan mungkar
-Mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam
-Tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat’ie

Sebuah Kisah Teladan

Kami teringat sebuah kisah teladan yang pernah disampaikan oleh guru kami, Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, katanya: “Di sebuah taman, terdapat pelbagai pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka hidup dalam keadaan yang bersuka ria. Tiba-tiba pada suatu hari, jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan berada dalam ketakutan. Ini kerana sudah pasti mereka semua akan ditebang. Akhirnya, mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu akan hal tersebut. Lantas pohon tua yang mempunyai banyak pengalaman itu berkata: ‘Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.”

Justeru fahamilah makna yang tersirat daripada kisah ini.

Harapan dan Doa

Semoga Malaysia akan terus bergerak meninggalkan zaman-zaman yang telah berlalu. Sama ada kita ingin Malaysia terus berada di takuk yang sama atau bergerak maju ke depan, keputusannya di tangan kita bersama. Di bawah lembayung pemerintahan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya berpimpin tangan menuju ke arah yang lebih gemilang dan perpaduan yang utuh.

Marilah sama-sama kita menginsafi firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu,
(Surah al-Anfal: 46)

Marilah sama-sama kita membetulkan nawaitu, merapatkan saf dan menyatukan masyarakat dengan penuh keharmonian dan aman yang menjadi cita-cita kita semua dalam masyarakat Malaysia ini.

Kami akhiri dengan doa munajat:

اللَّهُمَّ إِنًّا نَسْأَلُكَ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِكَ تَهْدِي بِهَا قُلُوبَنَا، وَتَجْمَعْ بِهَا أُمُورَنَا، وَتَلُمُّ بِهَا شَعَثَنَا، وَتَرُدُّ بِهَا الْفِتَنَ عَنَّا، وَتَصْلِحُ بِهَا دِينَنَا وَدُنْيَانَا
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon rahmat dari sisi-Mu, semoga Engkau memberi hidayah kepada hati-hati kami, Engkau memperkukuhkan perpaduan kami, Engkau merapatkan jurang perpecahan/perselisihan kami, Engkau hindarkan diri kami daripada segala fitnah, dan Engkau memperelokkan urusan agama kami dan kehidupan dunia kami.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Saya sayang Malaysia.

Akhukum fillah,
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan