Malaysia Dateline

Surat terbuka kepada Wan Ahmad Fayshal

Surat ini adalah khusus kepada saudara Wan Ahmad Fayshal. Barangkali menjadi nasihat dan teguran buat politikus-politkus negara.

Pesan penulis, bacalah dengan penuh keterbukaan hati.

Malaysia sedang mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang semakin meruncing dan menekan tanpa menafikan bahawasanya kita masih tidak tenggelam dalam kerancakan politik tanah air.

Perubahan kerajaan tempoh hari yang meggemparkan, masih belum lagi terluput dari memoir Tanah Air. Manakan tidak, perubahan yang belum sampai masanya menjadi perbincangan kebanyakkan orang terutama politikus.
Soalnya, salah siapa perubahan ini berlaku?

Namun, dalam isi tulisan ini kita tidak mahu fokus kepada apa yang berlaku sewaktu perubahan tampuk pimpinan. Apa yang mahu kita tujukan pada kali ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang kabinet menteri, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan kemelut yang sedang melanda Bersatu pada ketika ini.

Tulisan ini bukanlah untuk membicarakan soal pergolakan politik dalam Bersatu jauh sekali untuk menyebelahi sesiapa melainkan untuk mengkritik beberapa perkara berhubung kenyataan yang dikeluarkan.

Ini adalah kritikan berorientasikan sejarah terhadap seorang tokoh yang menterjemahkan sejarah dengan sangat baik.

Wan Ahmad Fayhsal,

Dalam kenyataannya di media sosialnya ada menyebut bahawa kemelut yang sedang berlaku terhadap dirinya adalah sama seperti krisis Ali melawan Muawiyah.

Soalnya, adakah persamaan yang cuba dibawakan ini adalah adil dan bersesuaian atau sebenarnya Wan Fayhsal melampau dalam membawakan satu analogi atau contoh?

Beberapa perkara perlu kita fokuskan kerana ini adalah kritikan sejarah. Pertama, kita akan fokus kepada konteks pada ketika itu. Kedua, kita akan fokus kepada sosok tubuh yang dijadikan perbandingan.

Ketiga, bagi menjelaskan kosa kata asal sesuatu perkataan dan sedikit latar belakangnya supaya kita tidak tersalah dalam mendefiniskan sesuatu hanya kerana kosa kata tersebut telah berubah mengikut kepada konteks semasa hari ini.

Ketiga-tiga poin ini akan dijelaskan dengan penerangan yang pasti tidak memihak kepada sesiapa, melainkan untuk menjadi peruntuh kepada lemahnya sebuah analogi dan contoh yang cuba dibawakan oleh Wan Fayshal.

Wan Ahmad Fayshal,

Pertama, konteks situasi. Jika kita membaca kitab sejarah antaranya kitab tarikh at-tabari, kita akan dapati realiti yang berlaku pada ketika itu adalah zaman yang penuh kekacauan atau kita sebut sebagai ‘zaman fitnah’.

Maka, dalam keadaan sebegitu terlampau banyak pihak yang cuba melagakan antara dua sosok yang paling dominan ketika itu, iaitu Saidina Ali dan Muawiyah.

Wujudnya pemberontak yang cuba menyusup dalam kalangan kedua-dua pihak untuk memastikan berlakunya pertelagahan. Pemberontak yang menjelma itu memberi kesan kepada keputusan yang diambil oleh kedua sahabat Nabi SAW itu.

Persoalannya, adakah realiti yang berlaku dalam konflik politik hari ini serupa dengan apa yang berlaku pada tahun fitnah tersebut? Adakah keparahan yang berlaku sehingga pertumpahan darah wajar disamakan dengan beberapa siri pergaduhan yang tidak matang dalam budaya berpolitik Negara? Wan Fayshal seolah-olah bersikap berlebih-lebihan menghuraikan isu ini.

Kedua, sosok tubuh yang dijadikan perbandingan. Perbandingan yang cuba dibuat seolah memalitkan kedua sahabat besar Nabi ini sebagai orang yang berkepentingan dalam berpolitik. Sedang, Ali dan Muawiyah jauhlah daripada kedua dakwaan tersebut.

Saidina Ali RA berusaha untuk menyelesaikan konflik dengan mendapatkan bai’ah daripada kesemua umat Islam setelah dilantik syura, sedang Muawiyah RA bukanlah tidak mahu memberikan bai’ah kerana mahukan kuasa melainkan ijtihad politik Muawiyah RA pada ketika adalah untuk menjatuhkan hukum kepada pembunuh Saidina Uthman RA.

Walaupun ijtihad politik Muawiyah RA pada ketika itu tidak tepat sehingga mengundang kepada ‘bughah’ atau melampau namun ia bukanlah kerana kepentingan politik semata. Apakah wajar perbandingan yang dibuat sedang keduanya merupakan sahabat yang punyai darjat mereka yang tersendiri atas sumbangan mereka masing-masing? Yang sudah dijamin syurga?

Ketiga, penjelasan kepada sebuah kosa kata “Khawarij”. Khawarij secara terminologinya merujuk kepada sebuah kelompok atau/aliran pengikut yang bersama Saidina Ali RA namun kemudiannya meninggalkan barisan kerana tidak bersetuju dengan keputusan yang disepakati sewaktu Majlis Tahkim.

Khawarij pada awalnya hanya bercanggah pada perkara-perkara politik. Namun, dalam perkembangan zaman mereka mula menjadi ekstremis hingga sampai kepada perkara pokok akidah.

Mereka mula mengkafirkan sesiapa sahaja yang bercanggah dengan mereka. Maka ini lah kelompok Khawarij. Wan Ahmad Fayhsal menjadikan khawarij sebagai perbandingan orang yang menuduhnya khianat. Persoalannya, adakah khianat dan kafirkan itu dalam konteks makna yang sama? Jauh sama sekali dan ternyata ini adalah tuduhan yang berat.

Khawarij dalam erti kata konteks semasa hari ini tidak lagi sama seperti dulu yang bercanggah pada perkara politik. Tambah, khawarij memang tidak menyebelahi kepada sesiapa sedang golongan yang Wan Ahmad Fayhsal dakwa sebagai khawarij menyebelahi pihak yang satu lagi, bukan Wan Ahmad Fayhsal.

Maka terserlah betapa Wan Ahmad Fayhsal tidak begitu mengenali siapa khawarij dengan baik hingga sampai kepada tersilap memilih pihak untuk dijadikan perbandingan.

PESAN PESAN YANG HARUS DISEMATKAN DI HATI

Ternyata, analogi dan perbandingan yang cuba dibawakan sangatlah jauh daripada layak untuk dibandingkan seperti langit dan bumi. Di satu pihak apa yang terlihat adalah untuk mengangkat sebuah kebenaran sedang di satu pihak lagi untuk mengangkat jawatan.

Apabila sejarah tidak difahami dengan baik mekanisme dan sebuah peranan, maka akan wujud lah golongan yang menunggang dan memanfaatkan sejarah untuk kepentingan peribadi.

Sejarah mungkin tidak akan sampai mengugat sebuah akidah, tapi ia bakal mengubah perspektif kita terhadap bagaimana perjalanan sebuah ketamadunan, agama dan bangsa.

Politikus harus berhati-hati menjadikan sejarah sebagai beban bukti. Keabsahan sejarah lebih utama berbanding kepentingan politik kamu sendiri.

————————–

FAKHRUL ISLAM merupakan aktivis Persatuan Belia HARMONI Universiti Malaya