Malaysia Dateline

Surat terbuka: Mujahid rayu Menteri Besar Perak selamatkan Hutan Kayu Bakau

Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menyatakan kebimbangan dan meletakkan Harapan agar Menteri Besar Perak dapat menyelamatkan Hutan Kayu Bakau di negeri itu dan di Kerian dari pencerobohan dan ketamakan manusia.

Melalui surat terbukanya kepada Datuk Saarani Mohamad, beliau menyatakan sokongan kepada dasar Perak Bumi Lestari, namun tegasnya sudah tiba masa agar ancaman perubahan iklim dijadikan sebagai teras strategik menangani isu alam sekitar.

Jelasnya, segala sumber dan pelaburan alam semula jadi oleh kerajaan negeri akan menyumbang kepada pulangan global bernilai US 40 hingga 50 trilion kepada ekonomi dunia dan kesejahteraan rakyat.

“Jika benar Perak Bumi Lestari, saya merayu bagi pihak Hutan Bakau Sungai Betul dan Bagan Tiang serta lain-lain Hutan Bakau yang suara mereka tidak didengari, agar hutan-hutan ini diselamatkan dari dicerobohi oleh ketamakan manusia yang tidak sedar tindakan mereka meletakkan rakyat sekitar dalam bahaya,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Dasar Perak Bumi Lestari perlu mempunyai komitmen untuk mengiktiraf sumbangan alam sekitar sebagai kayu pengukur kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.

Menurutnya, komitmen dana untuk langkah-langkah pemeliharaan ekonomi hijau perlu diperuntukkan antaranya insentif kepada sektor yang komited kepada dasar lestari.

Merujuk kepada kes Sungai Betul dan Bagan Tiang, Mujahid berkata tindakan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) menyalahi akta 172 yang dalam Rancangan Tempatan Daerah 2020 dan 2035 telah pun meletakkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan melabelkankannya sebagai hutan.

Lagipun katanya, hasil udang tidak dinamakan sebagai produk akuakultur di daerah Kerian.

“Tamak dan menyalahi undang-undang adalah rumusan formula paling berkesan untuk mengundang malapetaka alam sekitar,” katanya lagi.