Malaysia Dateline

Surat terbuka Syed Saddiq: PH, jangan terima ADUN lompat

Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak sesekali bersekongkol dengan kumpulan pengkhianat di Melaka terutama empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebaik sahaja empat ADUN itu memilih kuasa dan mengkhianati mandat rakyat, tidak mustahil mereka akan menumbangkan Melaka sekali lagi.

Beliau juga seolah berkecil hati mendakwa PH lebih suka bekerjasama dengan kumpulan ‘katak politik’, berbanding berunding dengan pihaknya.

“Di sebalik semua yang kita alami bersama, nampaknya gabungan PH yang saya bekerjasama rapat lebih suka berunding dengan pelompat parti yang tidak berprinsip, daripada sekutu rapat dan setia mereka, seperti saya

“Perlukah tiba-tiba berganding bahu dengan pngkhianat? Adakah kita kekurangan bilangan untuk mendapatkan calon yang lebih baik dan segar?,” soalnya dalam satu surat terbuka kepada gabungan PH hari ini.

Syed Saddiq turut mendakwa, tindakan ADUN Sungai Udang, Idris Haron melompat kepada PH semata-mata mahu dinamakan sebagai calon Ketua Menteri.

Menurutnya, Idris melompat bukanlah kerana dia percaya secara tiba-tiba bahawa Umno adalah ancaman kepada rakyat Melaka, dan dia juga tidak melompat kerana dia mengkritik Umno sejak sekian lama.

Bahkan katanya, gabungan PH sudah boleh melihat di mana hati dan niat Idris sejak dari awal yang pastinya bukan untuk Melaka, rakyat, lebih-lebih lagi untuk PH.

“Mereka tidak kisah untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka dua kali dan mereka akan berbesar hati untuk menumbangkannya kali ketiga,” ujarnya.

Syed Saddiq juga berkata, PH perlu kekal menyokong idea ‘United Opposition’ yang dipelopori sebelum ini.

“…dan saya menandatangani Akuan Bersumpah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Perdana Menteri selaras dengan semangat PRU14,” katanya.