Malaysia Dateline

Surat terbuka untuk Tan Sri Syed Mokhtar, Puspakom

Assalamualaikum Tan Sri,

Saya menulis kepada Tan Sri kerana sangat dukacita dengan kelakuan Puspakom dalam negara ini, dan sedikit sebanyak melibatkan entity Tan Sri sendiri, iaitu Puspakom.

Saya kehilangan kerja pada Ogos tahun lepas, dan sehingga kini masih tidak berjaya mencari pekerjaan baru. Oleh itu, saya terpaksa menjual aset-aset apa-apa sahaja yang saya ada, termasuk lah sebuah kereta Proton lama saya.

Saya perlu jual kereta ini kerana saya perlukan wang untuk terus menyara hidup keluarga. Setelah sekian lama saya iklankan, sudah pun jumpa seorang pembeli, walaupun harganya lebih rendah daripada apa yang saya harapkan.

Malangnya kereta saya ini telah menjadi mangsa banjir 5 tahun yang lalu, dan sejak itu ianya jarang diguna. Baru-baru ini enjinnya telah ditukar kerana enjin lama sudah rosak. Apabila enjin telah ditukar, maka saya perlu melalui ujian Puspakom sebelum memohon pertukaran nombor enjin pada geran kereta, saya rasa Tan Sri pun faham.

Saya pergi sendiri ke Puspakom walaupun tidak memahami prosidur kerana tidak mampu menggunakan runner yang ingin mengecaj RM1,000 untuk membuat kerja ini. Saya mengisi untuk membuat ujian khas untuk cek nombor enjin secara dalam talian.

Apabila tiba di Puspakom Bangi, kereta saya digagalkan untuk perkara yang tidak ada kaitan dengan nombor enjin. Kereta saya digagalkan ujian kerana power window tidak berfungsi dan cermin retak lebih daripada 6 inci. Ini merupakan syarat wajib untuk ujian khas katanya, walaupun pemeriksaan enjin telah lulus keseluruhan pemeriksaan didapati gagal.

Saya sudah la tengah susah sekarang ini, kini nak suruh saya ambil ujian sekali lagi, kos sekali lagi, nak repair tingkap power rosak, dan nak ganti cermin yang retak teruk kononnya.

Saya sangat kecewa kini, kerana saya berpendapat Puspakom sengaja menzalimi saya. JPJ pun sama, kalau isunya enjin bertukar nombor, kenapa nak dikaitkan dengan benda lain pada kereta? Kemudian hari nanti aircon tak sejuk pun boleh jadi alasan untuk gagal.

Berapa banyak kereta kot kat Malaysia ini yang power window tak fungsi. Berapa banyak yang ada retak pada cermin sebab JPJ masih benarkan lori angkat batu muatan terlebih berat bermaharaja lela dijalan raya. Berapa banyak lori yang asap hitam berkeliaran? Boleh pulak? Apa jadi dengan ujian ketat Puspakomnya?

Saya tahu bahawa saya hanyalah manusia kebanyakan yang tidak mempunyai kedudukan atau pun status, dan apa yang saya suarakan akan digelakkan Tan Sri sahaja, tetapi saya akan terus berdoa…

Ikhlas daripada rakyat yang tertekan,

Rajoli Samsuddin
Semenyih