Surat tulisan tangan kisah perceraian Puteri Diana dengan Raja Charles bakal dilelong

Oleh KIM SYAZIE

Setelah set pakaian baldu sutera berwarna ungu gelap milik Puteri Diana dilelong dua minggu lalu, terbaru, beberapa pucuk surat mendiang diraja itu pula dilaporkan bakal dilelong.

Surat itu dikatakan ditulis mendiang Puteri Diana yang meluahkan ‘kisah pahit’ mengenai perceraiannya dengan Raja Charles, lapor Agensi.

Dalam sepucuk surat yang ditulis pada 28 April 1996, mendiang memberitahu sedang melalui masa yang sukar sehingga terpaksa membatalkan perjalanannya bersama dua rakan karibnya ke pertunjukan opera.

Rakan karib mendiang, Susie dan Tarek Kassem akan menjual 32 keping surat dan kad yang dikirim oleh Puteri Diana kepada mereka pada 1995 dan 1996 semasa berpisah dengan Raja Charles.

Tujuan lelongan adalah untuk jualan amal.

“Saya mengalami masa yang sukar. Saya terduduk dan hanya inginkan perceraian ini berlalu,” tulis mendiang seperti dipetik Agensi.

Pada 20 Mei 1996 pula, Diana memberitahu kedua-dua rakannya itu bahawa panggilan telefon di Istana Kensington telah diintip.

Dalam surat lain, Diana berterima kasih kepada keluarga Kassem kerana membenarkannya menghabiskan cuti Krismas pada 1995 bersama mereka ketika anak lelakinya, William dan Harry berada bersama bapa mereka dan keluarga diraja di Sandringham.

Pasangan itu berkata, memiliki dokumen tersebut adalah ‘tanggungjawab yang enggan diwariskan kepada anak-anak mereka’ dan memutuskan untuk menjualnya dalam acara lelongan dengan anggaran kutipan mencecah £90,000 (RM473,024).

Mereka telah menyimpan surat kiriman Puteri Diana dan akan menjualnya di firma lelongan, Lay’s Auctioneers di Penzance, Cornwall.

Hasil daripada jualan pada 16 Februari depan akan disalurkan kepada badan amal yang dibantu oleh Puteri Diana.

Baca juga: Aliff Aziz ‘diganggu’ lagi, netizen cadang pakai purdah tutup ketampanan