Malaysia Dateline

Surau Al Jannah Shah Alam ditutup, ada jemaah dari kluster Sivagangga

Surau Al Jannah Seksyen 23 Shah Alam ditutup sementara ekoran terdapat ahli jemaah mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Dalam satu kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, penutupan itu sebagai langkah pencegahan awal bagi mengekang penularan wabak.

Jais juga mengarahkan pihak Jawatankuasa Surau Al Jannah untuk mengambil tindakan serta merta menutup semua operasi surau termasuk solat fardhu Jumaat, lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan yang lain.

Menurut Jais, hanya tiga orang petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardlhu di surau berkenaan.

Selain itu, operasi sekolah KAFA Integrasi Al Jannah juga hendaklah ditutup berkuat kuasa serta merta.

“Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu berkenaan menjalankan saringan ujian Covid-19 dan melaporkan keputusan saringan kepada Jais.

“Proses sanitasi hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA,” katanya.

Surau Al Jannah hanya boleh dibenarkan beroperasi semula setelah dibenarkan oleh Jais.