Malaysia Dateline

Surau macam markas Pas

Sebuah surau di Gombak, Selangor dilihat seperti markas Pas apabila secara terang-terangan menggantung bendera parti pembangkang itu.

Sumber memberitahu Surau Ubudiah di Jalan SG 9/33, Taman Sri Gombak itu juga menggantung kain rentang program berkaitan perpaduan ummah lengkap dengan lambang Umno dan Pas.

Program atas nama parti politik dan bendera Pas terang-terangan terdapat di Surau Ubudiah, Taman Sri Gombak.

“Surau Ubudiah Taman Sri Gombak macam markas Pas. Sultan tak marah atau JAIS tak takut,” soalnya.

Carian mendapati surau tersebut terletak di bawah kariah Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak.

Untuk rekod, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pernah bertegas dengan tidak membenarkan mana-mana individu ataupun pertubuhan politik menganjurkan ceramah serta aktiviti yang berunsur politik di masjid ataupun surau di seluruh negeri itu.

Pada 2013, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan nazir dan imam di 26 masjid serta surau yang masih membenarkan ceramah berunsur politik.