Malaysia Dateline

Surina Ketua Polis wanita pertama Perlis

Bekas Ketua Penolong Pengarah E5, Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Surina Saad hari ini melakar sejarah bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis negeri ini.

Surina, 56, yang juga anak jati Seriab, Perlis menjawat jawatan itu bermula hari ini bagi menggantikan Datuk Noor Mushar Mohamad yang akan bersara wajib bermula esok.

Surina menyifatkan ia adalah anugerah terbesar bagi dirinya kerana dapat kembali ke negeri sendiri untuk berkhidmat sebagai Ketua Polis negeri yang baharu.

“Menjadi hasrat dan cita-cita serta doa ibu bapa saya untuk saya kembali ke negeri ini dan berkhidmat di sini. Sudah lebih 30 tahun saya berkhidmat sebagai pegawai polis, jadi saya nak beri perkhidmatan yang terbaik untuk negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perlis yang disaksikan Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan di Dewan Datuk Noor Mushar, IPK Perlis pada Selasa.

Surina berazam akan memberi tumpuan khusus kepada ancaman dadah, pemerdagangan manusia dan barangan yang dilarang.– BERNAMA