Suruhanjaya Integriti terima banyak aduan membabitkan PDRM

Suruhanjaya Integriti terima banyak aduan membabitkan PDRM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima sebanyak 1,551 aduan salah laku sejak penubuhannya pada April 2011 sehingga semalam dengan sebahagian besarnya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata 28 aduan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 52 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib, 40 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib PDRM dan SPRM manakala 350 aduan dilakukan siasatan penuh.

“Baki 859 aduan yang diterima sejak April 2011 sehingga semalam itu telah ditolak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Kaunter Aduan dan Perkhidmatan Pelanggan EAIC di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan anggota dan pegawai yang ramai serta peruntukan penguatkuasaan undang-undang yang besar merupakan antara faktor PDRM mendahului agensi penguatkuasaan lain dari aspek penerimaan aduan daripada orang ramai.

“PDRM merupakan agensi penguatkuasaan yang utama dalam berhadapan serta berurusan dengan rakyat dan keadaan itu mungkin menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mendorong mereka membuat aduan,” katanya.

Mengenai peratusan aduan yang diselesaikan, Yaacob berkata semua aduan yang dikemukakann pada 2011 hingga 2014 berjaya diselesaikan sepenuhnya, manakala 93 peratus aduan diselesaikan pada tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata pembukaan Kaunter Aduan dan Perkhidmatan Pelanggan suruhanjaya itu di tingkat bawah, Bangunan Menara Usahawan di sini adalah bagi memudahkan orang awam membuat aduan secara bersemuka seterusnya memastikan perkhidmatan menjadi lebih tepat dan cepat.

Yaacob berkata fungsi utama kaunter itu adalah untuk menerima aduan, pertanyaan umum, khidmat nasihat dan maklum balas daripada pelanggan selain berfungsi mengurus dan serta memantau urusan pelanggan dan membuat kajian pengukuran tahap kepuasan pelanggan.

Ditanya sama ada pihaknya mempunyai cadangan untuk membuka kaunter seumpama itu di tempat lain, beliau berkata buat masa ini ia tidak dapat dilakukan atas kekangan tertentu yang dihadapi EAIC.

TAGS