Malaysia Dateline

Zulhazmi Shariff

Suruhanjaya Pasukan Polis, wajarkah dipinda?

Sehari dua ini Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) menjadi perhatian ekoran pendedahan Mantan Ketua Polis Negara (MKPN) Tan Sri Abd Hamid Bador bahawa Pengerusi SPP iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan dalam urusan polis.

MKPN juga mencadangkan agar Pengerusi SPP tidak dari kalangan orang politik supaya SPP dilihat bebas dan tidak mengganggu tugas polis. Ekoran pendedahan dan cadangan tersebut, pelbagai pihak memberikan reaksi termasuk yang dilabel “pakar Perlembagaan”.

Saya tidaklah se”pakar” pihak yang dilabel sebagai “pakar” tetapi cuba untuk bersama memberikan pandangan berkaitan isu ini. Wajar atau tidak SPP dipengerusikan oleh bukan orang politik.

Sebelum bercakap panjang, kita perlu lihat asal usul penubuhan SPP ini. SPP ditubuhkan melalui peruntukkan Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa :

“(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pasukan Polis yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua orang yang menjadi anggota pasukan polis dan yang, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada, hendaklah bertanggungjawab bagi pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis:

Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi penjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara dan oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu, dan dalam keadaan yang sedemikian, jika pihak berkuasa itu bukan Suruhanjaya itu, kawalan tatatertib yang boleh dijalankan oleh pihak berkuasa itu tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya itu; dan tiada peruntukan undang-undang itu boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini.”

Jelas bahawa penubuhan SPP adalah berkaitan pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis. Tidak lebih dari itu.

Justeru apabila didedahkan bahawa Pengerusi SPP iaitu Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan kerja polis, maka ianya sudah jelas bercanggah dengan tugas dan tanggungjawab yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Siapa anggota SPP?

Perkara 140 (3) memperuntukkan seperti berikut :

(3) Suruhanjaya Pasukan Polis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:

(a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis, yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b) pegawai polis yang memerintah secara menyeluruh pasukan polis;

(c) orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Kementerian di bawah Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis;

(d) seorang anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong;

(e) tidak kurang daripada dua tetapi tidak lebih daripada enam orang anggota lain, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sekarang, pada waktu tulisan ini ditulis, anggota SPP ialah :

a) YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin, Menteri Dalam Negeri (Pengerusi)

b) YBhg. Dato’ Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani, Ketua Polis Negara,

c) YBhg. Datuk Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, bertindak sebagai Setiausaha SPP

d) YBhg. Dato’ Sri Zoal Azha bin Yusof, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),

e) YBhg. Tan Sri Alwi bin Ibrahim, (Mantan KSU KDN)

f) YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim (Mantan Timbalan Ketua Polis)

g) YBhg. Datuk Seri Akhil bin Bulat (Polis)

h) YBhg. Dato’ Sri Mortadza bin Nazarene (Polis)

i) YBhg. Datuk Sidin bin Abdul Karim (Polis)

Jika dilihat keseluruhan 9 anggota SPP di atas, yang jelas ahli politik hanyalah Pengerusi manakala selebihnya terdiri daripada penjawat awam kerajaan termasuk pegawai kanan Polis.

Adakah Benar Ada Campur Tangan Politik Dalam Tugas Polis?

Perkara ini perlu disiasat secara telus dan terperinci bukan oleh Polis tetapi sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja. Apabila ianya didedahkan oleh Mantan Ketua Polis Negara, ianya adalah serius dan tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja.

Dari luaran, masyarakat boleh memahami adanya campur tangan politik dalam tugasan polis kerana Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan semestinya Menteri tersebut beranggapan beliau mempunyai kuasa penuh atas segala tindak tanduk PDRM.

Ianya suatu anggapan yang salah kerana segala tugas dan tanggungjawab Polis ialah di bawah Akta Polis 1967. Tiada siapa boleh memberikan arahan kepada polis untuk bertindak begitu dan begini walau pun Menteri Dalam Negeri. Menteri hanya sebagai penyelaras yang memantau perjalanan Polis bukan memberikan arahan. Pasukan Polis di bawah arahan dan tanggungjawab sepenuhnya Ketua Polis Negara.

Walau pun menteri adalah Pengerusi SPP, beliau tiada hak memberikan apa-apa arahan tugas kerana sebagai Pengerusi SPP, tugasnya hanya mempengerusikan mensyuarat SPP dan memberikan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setiap cadangan oleh SPP kepada YDPA hanya terpakai setelah YDPA mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Ringkasnya begini :

SPP membuat keputusan, diangkat cadangan kepada YDPA, YDPA meminta nasihat Perdana Menteri.

Ini disebut di dalam Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan apa-apa jawatan lain dalam pasukan polis yang pada pendapatnya adalah serupa atau lebih tinggi tarafnya; dan pelantikan bagi penyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidaklah boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis.

(5) Sebelum bertindak mengikut Fasal (4) atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, Yang diPertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

Jika semua pihak bertindak mengikut peruntukkan Perlembagaan sedia ada, faham tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, maka tidak akan timbul isu campur tangan dalam tugas sesiapa kerana Perlembagaan dengan jelas menjelaskan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Apa yang berlaku adalah kerana ada pihak merasakan diri sudah cukup hebat apabila menjadi Menteri dan Pengerusi. Tidak sedar dek untong. Ada juga mungkin di kalangan anggota lain yang tidak berani menyanggah Pengerusi atau hanya menjadi Pak Turut atas alasan tertentu. Boleh berlaku tetapi tidaklah dituduh begitu.

Asasnya mudah, setiap anggota mesti tahu dan faham apa tugas dan tanggungjawab sebagai anggota SPP. Apa fungsi SPP. Jika perkara asas ini gagal difahami, maka pindalah, guballah apa pun akan tetap gagal kerana puncanya bukan undang-undang tetapi orang yang melaksanakan undang-undang.

Walau pun begitu, jika ingin Pengerusi SPP bukan dari orang politik, maka peruntukkan Perkara 140 (3) hendaklah dipinda dan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Parlimen. Boleh ??

Sekadar itu saja yang cuba diringkaskan, ada perkara lain yang bleh disentuh tetapi akan memanjangkan tulisan, maka di sini sahaja.

Fahami undang-undang, tugas, tanggungjawab dan fungsi. InsyaAllah semuanya berjalan lancar.
———-
Penulis adalah seorang peguam yang juga ahli politik.