Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Komersil saran ditubuhkan atasi jenayah warga asing

Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Komersil saran ditubuhkan atasi jenayah warga asing

Kerajaan disarankan agar menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi pencegahan jenayah komersil untuk membanteras kegiataan jenayah dilakukan membabitkan warga asing di negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat Aminuddin Harun.

“Saya meneliti jumlah kerugian yang diberikan oleh PDRM mungkin lebih besar lagi jika dilihat saban hari ada sahaja berita mengenai jenayah komersial sama ada yang dilaporkan oleh media massa mahupun yang tidak dilaporkan.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Komersial kerana jenayah komersial sukar dibanteras berbanding jenayah jalanan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu mendakwa, jenayah komersial dan penipuan siber ini lebih merebak di negara ini kerana berkemungkinan ujarnya, terdapat ‘orang dalam’ dan penipuan licik ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak polis.

Aminuddin Harun

Justeru dengan penubuhan suruhanjaya itu ia dapat menangani masalah jenayah ini selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu memantau kemasukan pekerja warga asing di negara ini.

“Kebanjiran warga asing telah menyebabkan jenayah ini semakin merebak dan mereka nampaknya semakin berani melakukan jenayah.

“Saya berharap orang ramai untuk lebih berhati-hati agar jangan mudah terpedaya serta terpengaruh dengan keuntungan yang datang bergolek dan tawaran yang tidak masuk akal.

“Masyarakat perlu menjadikan pengajaran ratusan kes yang lalu sebelum ini pernah dilaporkan supaya tiada kejadian seumpama itu akan berlaku lagi,” ujarnya.

Beliau merujuk kes penipuan dalam talian meningkat dengan mendadak di Negeri Sembilan dengan 540 kes telah dilaporkan berlaku dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini membabitkan kerugian kira-kira RM4.32 juta.

Keadaan ini ujarnya lagi, semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, pihak polis merekodkan sebanyak 225 kes dengan membabitkan jumlah kerugian hanya RM1.77 juta berbanding kerugian sebanyak RM4.32 juta pada tahun ini.

Sindiket penipuan ini dikatakan melibatkan pembelian barangan secara dalam talian, jerat cinta di internet, ‘Macau Scam’ dan pinjaman tidak wujud.

Sindiket ini dipercayai didalangi oleh kebanyakan warga asing dan turut tidak ketinggalan warga tempatan yang turut menggunakan akaun pihak ketiga untuk menjalankan urusan, bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam siasatan pihak polis juga, mereka percaya pihak ketiga itu turut menerima komisen untuk setiap urusan niaga yang berjaya.

Kes penipuan ‘Macau Scam’ mencatatkan nilai kerugian paling tinggi iaitu RM1.7 juta diikuti kes pembelian barangan menerusi atas talian sebanyak RM1.1 juta pada tahun ini.

CATEGORIES
TAGS