Suruhanjaya Sekuriti minta Azam Baki beri penjelasan

Oleh ARIF ATAN

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diminta untuk memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta mengesahkan kenyataan yang dibuat

Selain Azam, semua pihak yang terbabit diminta berbuat demikian bagi pengawal selia pasaran modal tempatan itu mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan.

Semalam, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Azam memberitahu mesyuarat khas LPPR pada 24 November lalu bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli sejumlah saham pada 2015 yang dibuat di pasaran saham terbuka.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham itu pada 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.