Survival kerajaan Pakatan dibebani keresahan Melayu

Survival kerajaan Pakatan dibebani keresahan Melayu

Tiada adjektif mudah yang boleh diguna untuk menggambarkan prestasi kerajaan Pakatan Harapan. Realiti dan sentimen yang bercampur-aduk menyukarkan kita untuk menilai pencapaian sebenar kerajaan yang hampir setahun usianya ini.

Di saat realiti mengatakan kita di landasan yang betul, sentimen berkata sebaliknya. Apabila sentimen pula mengatakan kita sedang baik-baik, realiti pula seolah tidak setuju.

Apa pun, dalam situasi sebegini, dalam wacana politik harian rakyat, sentimen akan sentiasa menang. Sentimen lebih mudah dijual dan dijaja berbanding realiti.

Realiti tidak cukup seksi, realiti tidak cukup sensasi untuk disampai mulut ke mulut, jauh sekali untuk dibahaskan secara adil oleh rakyat bawahan.

Dan kalau pun realiti ingin mengatasi sentimen, ia adalah realiti lain yang dialami rakyat, bukan realiti yang cuba diyakinkan oleh kerajaan.

Selalunya, sentimen yang mudah tersebar ini terbina oleh kepercayaan dari masyarakat di bawah, bukan di atas. Ia dikukuhkan dengan pengalaman sebenar yang dilalui orang-orang bawah dalam hari ke sehari.

Gambaran lebih besar jarang dapat menenggelamkan sentimen sebegini. Seperti sebuah paradoks, sentimen yang mengatasi realiti sebenarnya terbina daripada realiti lain yang dialami rakyat sendiri.

Kerajaan hari ini menumpukan usaha ke atas membangunkan ekonomi – dan senantiasa ia menggunakan kanta gergasi untuk melihat gambaran yang lebih besar.

Analisis ekonominya selalu bersandarkan pasaran dan pelaburan. Tujuan akhirnya adalah mengambus bebanan hutang yang sedang ditanggung kerajaan, dan mengukuhkan pasaran modal.

Di atas kertas, andai ekonomi makro ini berjaya diuraikan, maka ekonomi mikro, ekonomi sebenar yang menjejaskan poket rakyat akan ikut terurai.

Itu di atas kertas, dan orang-orang yang kononnya terpelajar selalunya akan sentiasa bersetuju dengan hal yang sebegini, dan melanjutkan tumpuan mereka lagi ke atas hal ini dan tidaklah berpaling sejenak kepada ekonomi yang lebih mikro.

Begitu pun, apa yang tercetak dan tertulis di atas kertas kerajaan, hala tuju yang sedemikian, iaitu memulihkan ekonomi makro, tidak akan sama sekali meyakinkan sebarang rakyat yang hidup berkerja sehari-hari menunggu upah dan untung dari pekerjaan mereka.

Kehidupan rakyat di bawah lebih terjejas dek ekonomi yang lebih mikro. Harga barang, harga sewa, upah pekerjaan, hutang isi rumah, komitmen bulanan, faedah bank, tempoh pinjaman, kelayakan untuk berhutang, kekurangan pelanggan, cukai yang tinggi – ini yang lebih dibicarakan. Ini yang lebih diutamakan oleh masyarakat bawahan.

Kelangsungan atau survival kerajaan Pakatan Harapan hari ini dibebani dengan sentimen politik yang songsang, namun bersebab. Cubaan untuk memulihkan perspektif politik orang Melayu misalnya dengan cubaan untuk menjadi lebih Melayu, atau lebih Islam berbanding pembangkang adalah kerja sia-sia.

Ia tidak pernah menjadi kekuatan Pakatan Harapan, ia tidak pernah pun menjadi sandaran Pakatan Harapan selama ini. Hatta AMANAH dan Bersatu, yang terbina berasaskan kemelut politik Melayu-Islam juga tidak pernah menawarkan untuk menjadi lebih Melayu, lebih Islam.

Sebelum PRU14 dahulu pun, AMANAH dan Bersatu adalah wadah baharu yang membawa identiti baharu kepada Melayu Islam. Wadah yang mencabar status quo kepercayaan dan pembudayaan kaum terbanyak, dan itu harus sebenarnya diteruskan.

Untuk memulihkan survival politik Pakatan Harapan, kembalikan tumpuan kepada pengurusan dan penguraian kemelut ekonomi. Bukan hanya gambaran besar yang tertumpu kepada memperkayakan ekonomi tajaan sistem – yang pasti sekali hanya menguntungkan kaum pemodal, sebaliknya ekonomi yang lebih kecil dan tertumpu di bawah sana.

Dalam soal mengembalikan kepercayaan dan sentimen positif dalam kalangan pengundi terbanyak iaitu Melayu-Islam, fahami dahulu punca keresahan mereka.

Realitinya, Melayu Islam tidak ada sebab untuk merasa terancam dari segi budaya, adat, dan agama. Ia dikipaskan oleh pembangkang dalam keadaan orang Melayu-Islam sendiri tidak pernah pun memenuhkan masjid yang tiap tahun ditambah di daerah masing-masing.

Kemarahan mereka bukan kerana mereka tidak dapat sembahyang atau bercakap Melayu, tetapi kerana 80 peratus rakyat Malaysia, dan ini tentu sekali termasuk sebilangan besarnya orang Melayu – adalah masyarakat yang sudah menjadi masyarakat urban, masyarakat bandar. Masyarakat yang dekat dengan punca ekonomi.

Mereka tiada lagi keselesaan seperti di desa. Mereka tiada lagi punca ekonomi yang fleksibel dan tidak dipengaruhi ekonomi modal secara langsung.

Masyarakat Melayu Islam sedang menjalani transisi daripada masyarakat tradisi yang berada dalam ruang selesa sendiri kepada ruang yang penuh dengan persaingan yang mencabar. Kompetensi orang Melayu dalam berdepan realiti baharu yang tak mereka sedari inilah yang melahirkan keresahan hari ini.

Keresahan mereka ini tidak difahami kerana tiada langkah untuk menyedarkan mereka, tiada pula dasar untuk mempersediakan mereka.

Jaminan sepenggal lagi untuk Pakatan Harapan berkuasa kini terletak kepada dasar yang lebih merakyat – yang menguraikan keresahan majoriti ini melalui dasar-dasar pembaharuan dan pemerkasaan ekonomi yang lebih mikro, tertumpu, dan dekat dengan wacana harian mereka.

Jika tiada usaha sebegini, teman-teman yang dilantik oleh Putrajaya sejak hampir setahun lepas boleh mulai rancang mendapatkan pekerjaan baharu empat tahun dari sekarang.